KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Jumaat, susulan aktiviti pengambilan untung pada hari sebelumnya dan sejajar dengan pergerakan lemah Wall Street dalam tempoh semalaman.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.43 mata atau 0.15 peratus kepada 1,630.44 daripada 1,632.87 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks itu dibuka 2.07 mata lebih tinggi kepada 1,634.94 dan bergerak antara 1,628.77 dengan 1,636.08 sepanjang sesi pagi.
Bagaimanapun, bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 506 berbanding 476, manakala 464 kaunter lagi tidak berubah, 909 kaunter tidak diniagakan, dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.40 bilion unit bernilai RM1.48 juta.
Hong Leong Investment Bank menjangkakan aktiviti pengambilan untung berterusan dalam jangka masa pendek akan meneutralkan bacaan teknikal terlebih jual dengan paras sokongan utama pada 1,623.
Antara saham berwajaran tinggi, Hong Leong Bank naik empat sen kepada RM20.46, CelcomDigi menokok tiga sen kepada RM3.68, Press Metal bertambah lima sen kepada RM4.88, Petronas Chemicals melonjak 13 sen kepada RM4.99 dan YTL Power meningkat lapan sen kepada RM4.47.
Bagaimanapun, CIMB tidak berubah pada RM8.13, Maybank susut enam sen kepada RM10.12 dan Public Bank turun dua sen kepada RM4.52.
Bagi saham aktif, Velocity Capital naik setengah sen kepada tujuh sen, Widad menokok 1.5 sen kepada 5.5 sen, Dagang Nexchange menambah 2.5 sen kepada 42.5 sen, WCT Holdings meningkat 6.5 sen kepada RM1.02, Datasonic mendatar pada 42 sen, dan JCY International kurang satu sen kepada 56.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 2.48 mata kepada 12,534.10, Indeks FBM Emas Shariah turun 9.20 mata kepada 12,540.58, dan Indeks FBMT 100 susut 7.36 mata kepada 12,206.46.
Indeks FBM 70 meningkat 28.90 mata kepada 18,858.83, dan Indeks FBM ACE naik 4.84 mata kepada 5,436.94.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 24.92 mata kepada 7,598.51 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.62 mata kepada 174.75.
Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 30.37 mata kepada 19,030.08, manakala Indeks Tenaga meningkat 15.33 mata kepada 845.75.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial