Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut daripada kenaikan semalam untuk ditutup rendah hari ini apabila para pelabur mengambil keuntungan di tengah-tengah prestasi negatif bursa serantau lain.
Pada 5 petang, FBM KLCI turun 14.96 mata atau 0.92 peratus ditutup pada paras intra hari terendahnya pada 1,614.83 daripada paras penutup 1,629.79 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.87 mata kepada 1,628.92 dan mencecah paras intra hari tertingginya pada 1,631.15 semasa sesi awal pagi.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 827 berbanding 285 manakala 497 kaunter tidak berubah, 761 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.59 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 3.91 bilion unit bernilai RM3.29 bilion pada Selasa.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata indeks utama Asia dipengaruhi oleh prestasi suram di Wall Street, berikutan kesan daripada jualan di Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata para pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati, dengan ramai yang mengelak daripada mengambil pegangan penting menjelang pengumuman data pekerjaan AS pada lewat minggu ini selain ketidakpastian sama ada Presiden Donald Trump akan beralih kepada dasar tarif yang lebih longgar.
“Pasaran juga mengambil kira implikasi lebih meluas daripada dasar Trump 2.0 selepas beliau mengangkat sumpah pada 20 Januari ini, di samping risiko geopolitik yang berpanjangan, pertumbuhan tidak menentu ekonomi China, yuan yang lemah, dan langkah-langkah dasar oleh bank pusat utama,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata di pasaran tempatan, sesi dagangan hari ini menyaksikan kenaikan yang terhad, dengan hanya dua komponen dalam FBM KLCI mencatatkan keuntungan ketika majoriti lain mencatatkan kerugian.
Indeks sektoral di Bursa Malaysia mencerminkan penurunan ini apabila semua sektor menghadapi tekanan daripada sentimen negatif ketika ini.
“Bagaimanapun, terdapat permintaan tinggi terhadap saham yang bakal mendapat manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, susulan pemeteraian rasmi semalam.
“Jumlah dagangan kekal teguh pada 3.59 bilion saham, menunjukkan penyertaan kukuh pasaran yang memberi petanda baik terhadap kecairan,” katanya.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI kekal dalam jajaran antara 1,615 dan 1,635 bagi tempoh berbaki minggu ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Gas naik enam sen kepada RM17.82, YTL Power menokok satu sen kepada RM4.51, manakala Tenaga Nasional dan Press Metal tidak berubah, masing-masing pada RM14.32 dan RM4.79.
Gamuda turun satu sen kepada RM5.19 dan MRDIY susut 3.0 sen kepada RM1.81.
Dalam kalangan kaunter cergas, Swift Energy yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE hari ini meningkat 11.5 sen kepada 39.5 sen, UEM Sunrise naik empat sen kepada RM1.14, manakala Dagang NeXchange dan Bumi Armada susut satu sen setiap satu masing-masing kepada 41.5 sen dan 67.5 sen.
Kedua-dua Velocity dan Vinvest tidak berubah masing-masing pada 8.0 sen dan 7.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 116.50 mata kepada 12,430.34, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 126.85 mata kepada 12,427.03, Indeks FBMT 100 turun 113.54 mata kepada 12,105.57, Indeks FBM 70 merosot 181.35 mata kepada 18,762.15 dan Indeks FBM ACE jatuh 87.80 mata kepada 5,378.17.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.85 mata kepada 173.34, Indeks Tenaga susut 6.86 mata kepada 851.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 138.30 mata kepada 18,898.38, dan Indeks Perladangan merosot 52.87. 55.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.85 mata kepada 173.34, Indeks Tenaga susut 6.86 mata kepada 851.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 138.30 mata kepada 18,898.38 dan Indeks Perladangan merosot 52.87 mata kepada 7,555.93.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.64 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM2.96 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.17 bilion unit bernilai RM121.60 juta berbanding 1.55 bilion unit bernilai RM158.81 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 777.83 juta unit bernilai RM287.48 juta daripada 487.74 juta unit bernilai RM177.77 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 205.95 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (330.62 juta), pembinaan (171.87 juta), teknologi (263.51 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (62.64 juta), hartanah (206.07 juta), perladangan (34.16 juta), REIT (12.10 juta), dana tertutup (18,000), tenaga (109.53 juta), penjagaan kesihatan (112.75 juta), telekomunikasi dan media (30.17 juta), pengangkutan dan logistik (30.62 juta), utiliti (68.82 juta), dan amanah perniagaan (1.12 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial