PASARAN > BERITA

GMM 20 Ditutup Tinggi Disokong Kenaikan Pasaran Serantau, Keyakinan Dipacu Rangsangan

10/01/2025 06:51 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh aliran meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan kenaikan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras, kata peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat lebih tinggi bagi sesi ketiga berturut-turut pada Jumaat, dirangsang penurunan yen, walaupun kekal berada di landasan dengan mengakhiri minggu ini dengan prestasi rendah berikutan prospek permintaan global yang lemah.

Sentimen didorong lagi oleh keyakinan bahawa China akan menambah baik langkah rangsangannya dengan ketara, terutama melalui langkah fiskal yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi pada 2025, katanya.

Beliau berkata sebagai sebahagian langkah itu, China mengumumkan subsidi tukar beli kenderaan yang tamat pada 31 Dis, 2024 akan dilanjutkan sehingga tahun ini di bawah skim tukar beli pengguna yang diperluas untuk menggiatkan semula pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya telah dihadkan apabila ringgit yang sedikit lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan sentimen menjelang laporan pekerjaan AS (bagi Disember),” katanya kepada Bernama.

Ketika laporan ini dibuat, ringgit didagangkan pada 4.4950/5000 berbanding dolar AS daripada 4.5005/5055 ketika ditutup pada Khamis.

Pada pukul 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan GMM 20 meningkat 16 sen kepada 876 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 1.5 sen kepada 676.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan