PASARAN > BERITA

Jualan Saham Teknologi, Utiliti Asak Bursa Malaysia Ditutup Rendah

13/01/2025 07:11 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih rendah, ditekan penjualan ketara saham mewah teknologi dan utiliti yang menjadi tempias daripada kesan penjualan besar-besaran di Wall Street pada Jumaat lepas.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 16.82 mata atau 1.05 peratus kepada 1,585.59 daripada paras 1,602.41 dicatatkan pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Sewaktu dibuka, indeks itu turun 3.45 mata lebih rendah pada 1,598.96 dan berlegar dalam julat 1,578.97 hingga 1,599.36 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 913 berbanding 211 dengan 450 kaunter tidak berubah, 795 tidak diniagakan dan 39 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.85 bilion unit bernilai RM2.54 bilion daripada 2.52 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pelabur memberi reaksi terhadap jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah pada tahun ini susulan petunjuk kukuh seperti data laporan gaji bukan perladangan Jumaat lepas selain kadar pengangguran susut dan memaparkan pengukuhan ekonominya.

“Walaupun kesemuanya adalah petanda positif bagi asas-asas ekonomi, ini turut meningkatkan kebimbangan mengenai inflasi yang hanya menyukarkan pelaksanaan penurunan kadar faedah itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata indeks utama itu mengakhiri dagangan di bawah paras psikologikal penting 1,600 dengan dinamik pasaran dan sentimen dipacu emosi yang dipaparkan oleh jualan ketara itu.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk menyatakan bahawa sentimen pasaran dan perilaku pelabur boleh berbeza daripada asas-asas yang ada.

“Lebih-lebih lagi penurunan ini ketara sejak minggu lepas dan menggambarkan peluang potensi pembelian bagi pelabur yang berhasrat memanfaatkan kedudukan (saham) di bawah nilai,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bagi minggu ini, tumpuan global adalah pengumuman data utama AS iaitu masing-masing indeks harga pengeluar bagi Disember pada Selasa, indeks harga pengguna pada Rabu, jualan runcit pada Khamis dan pengeluaran perindustrian pada Jumaat.

“Di peringkat tempatan, kami berhati-hati mengenai pasaran akibat (pengaruh) faktor luaran. Kami percaya saham teknologi dan yang berkaitan akan diasak tekanan susulan reaksi daripada tindakan Presiden AS Joe Biden memperkenalkan peraturan baharu lebih tegas mengenai pengimportan cip kecerdasan buatan yang maju.

“Walaupun indeks petunjuk utama itu berkemungkinan mengalami cabaran ketidaktentuan global, bagaimanapun penilaian menarik terhadap saham mewah dijangka mengekalkan momentum pembelian. Sehubungan itu, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam aliran 1,580-1,600 bagi minggu ini yang memaparkan paras sokongan dan rintangan utama,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM10.08, CIMB turun lapan sen kepada RM8.10 dan Tenaga merosot 20 sen kepada RM13.90 manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.45 dan IHH meraih empat sen kepada RM7.10.

Bagi saham aktif, Swift Energy turun satu sen kepada 37.5 sen, Key Alliance susut setengah sen kepada 0.5 sen, YTL Power berkurangan 25 sen kepada RM4.00, Nationgate kehilangan 12 sen kepada RM2.33 dan MYEG menguncup dua sen kepada 94.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 123.40 mata kepada 12,179.36, Indeks FBMT 100 berkurangan 119.18 mata kepada 11,864.65 dan Indeks FBM ACE susut 107.44 mata kepada 5,246.03 manakala Indeks FBM Emas Shariah menguncup 139.88 mata kepada 12,110.86 dan Indeks FBM 70 kehilangan 159.10 mata kepada 18,308.44.

Selain itu, mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.20 mata kepada 168.46 namun Indeks Tenaga meraih 2.49 mata kepada 835.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 91.38 mata kepada 18,833.15 dan Indeks Perladangan merosot 67.67 mata kepada 7,442.95.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.51 bilion unit bernilai RM2.29 bilion daripada 1.45 bilion unit bernilai RM2.19 bilion pada Jumaat.

Waran berkurangan kepada 856.91 juta unit bernilai RM82.83 juta berbanding 678.03 juta unit bernilai RM68.55 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 484.47 juta unit bernilai RM167.11 juta daripada 390.05 juta unit bernilai RM159.37 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 198.27 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (301.39 juta), pembinaan (99.08 juta), teknologi (230.66 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (61.29 juta), hartanah (208.71 juta), perladangan (33.58 juta), REIT (10.12 juta), dana tertutup (20,500), tenaga (139.53 juta), penjagaan kesihatan (61.56 juta), telekomunikasi dan media (46.71 juta), pengangkutan dan logistik (26.24 juta), utiliti (93.02 juta) dan amanah perniagaan (281,000).

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda Bhd berkata dagangan sekuriti itu telah digantung berkuat kuasa jam 3.47 petang, 13 Jan, 2025 dan akan disambung semula pada jam 9 pagi, 14 Jan, 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan