PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Susulan Aktiviti Jualan Berterusan

15/01/2025 02:29 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah mengakhiri sesi tengah hari ini apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung berikutan sentimen lemah dan jualan berterusan dalam kaunter berkaitan indeks.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.79 mata kepada 1,563.67 daripada paras penutup 1,576.46 pada Selasa. 

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 5.87 mata kepada 1,582.33 dan kemudiannya bergerak antara paras 1,564.26 dan 1,586.21 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran secara umumnya negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 882 berbanding 147, manakala 364 kaunter tidak berubah, 982 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.16 bilion unit bernilai RM1.55 bilion.

Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata peserta pasaran global akan memantau rapat pengumuman data utama indeks harga pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) lewat malam ini, dengan bacaan inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan masing-masing berada pada 0.5 peratus dan 0.3 peratus bulan ke bulan.

Beliau berkata jangkaan cenderung kepada aliran inflasi yang lebih baik dalamtempoh beberapa bulan akan datang, bergantung kepada pelarasan bermusim dan keputusan dasar perdagangan daripada pentadbiran baharu Presiden AS yang baru dilantik Donald Trump.

Susulan data pekerjaan yang kukuh pada Jumaat minggu lepas, pasaran dilihat yakin dengan  pengumuman IHP AS yang lebih positif, katanya.

“Dari segi kadar jangka pendek, pasaran menjangkakan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS bagi 2025 kekal terbatas, dengan pengurangan penuh 25 mata asas yang pertama dijangkakan pada September,” katanya kepada Bernama.

Alves berkata penetapan harga bagi penurunan kadar pada selang waktu utama menunjukkan pelarasan kecil yang mencerminkan sentimen berhati-hati ketika Trump mula merangka dasarnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM10.14, CIMB susut 10 sen kepada RM7.87, Tenaga berkurangan 32 sen kepada RM13.50, Public Bank tidak berubah pada RM4.4, tetapi IHH meningkat dua sen kepada RM7.10.

Dalam kalangan kaunter cergas, EA Holdings, Velocity Capital dan TWL Holdings tidak berubah, masing-masing pada setengah sen, lapan sen dan tiga sen.

MYEG turun 3.5 sen kepada 90 sen dan YTL Corporation susut tiga sen kepada RM2.15.

Bagi keseluruhan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 142.00 mata kepada 11,974.97, Indeks FBM Emas Shariah turun 181.97 mata kepada 11,871.56 dan Indeks FBMT 100 susut 131.81 mata kepada 11,669.82.

Indeks FBM 70 turun 337.54 mata kepada 17,893.36 manakala Indeks FBM ACE susut 107.33 mata kepada 5,170.17.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 9.94 mata kepada 823.08, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 85.52 mata kepada 18,677.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.70 mata kepada 165.36 dan Indeks Perladangan jatuh 25.30 mata kepada 7,374.06.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan