PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Disokong Minggu Depan Sewaktu Ketidaktentuan Dasar Trump

18/01/2025 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal disokong dengan baik walaupun dasar Donald Trump yang tidak menentu, kata seorang penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen pasaran yang cenderung membuat unjuran kini bersiap sedia untuk mengesan inflasi daripada dasar Trump yang akan datang, berbanding dengan paras inflasi yang sudah tinggi. 

Beliau berkata, buat masa ini, emas nampaknya disokong dengan baik pada waktu ketidaktentuan dasar Trump dan potensinya untuk mengganggu pasaran global.

"Saya menjangkakan emas akan menarik pembeli apabila harga turun ke paras US$2,685 dengan paras rintangan dijangka berada sekitar US$2,735 pada minggu hadapan.

"Bagaimanapun, risiko yang lebih besar nampaknya cenderung ke arah kenaikan kerana ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi boleh meningkatkan permintaan untuk aset selamat," kata Innes kepada Bernama.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Januari 2025 ditutup lebih tinggi kepada US$2,702.70 setiap auns troy, naik daripada US$2,692.70 setiap auns troy minggu sebelumnya.

Sementara itu, kontrak Februari 2025 meningkat kepada US$2,711.20 setiap auns troy daripada US$2,703.10 setiap auns troy.

Kontrak Mac, April dan Jun 2025 semuanya ditutup lebih tinggi kepada US$2,719.30 setiap auns troy daripada US$2,707.30 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan merosot kepada 40 lot daripada 83 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 78 kontrak daripada 56 kontrak.

 Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 16 Jan, 2025, harga emas fizikal berada pada US$2,716.50 setiap auns troy.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan