KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Aktiviti belian saham pada harga rendah yang berterusan memacu Bursa Malaysia untuk ditutup tinggi hari ini, meskipun pendirian Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (AS) terhadap dasar tarif yang baharu masih belum ditentukan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.12 mata mewakili 0.52 peratus kepada 1,580.46, terutamanya dipacu oleh saham sektor perkhidmatan dan produk perindustrian serta utiliti.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.57 mata lebih tinggi pada 1,574.91 berbanding 1,572.34 ketika ditutup pada Isnin.
Lingkungan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 661 berbanding 378, manakala 505 kaunter tidak berubah, 825 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.42 bilion unit bernilai RM2.61 bilion berbanding 2.95 bilion unit bernilai RM2.45 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran terus pulih selepas penurunan ketara minggu lepas.
Selain itu, beliau berkata arahan Trump agar mengkaji ketidakseimbangan perdagangan terlebih dahulu memberikan sedikit harapan bahawa pentadbirannya mungkin akan melaksanakan tarif yang lebih ringan.
Bagaimanapun, ia terlalu awal untuk menilai langkah Trump yang seterusnya.
Pada hari pertama pentadbirannya, Trump mengarahkan agar pentadbirannya mengkaji semula amalan perdagangan yang tidak seimbang di seluruh dunia serta memastikan Beijing mematuhi perjanjian perdagangan sebelum ini, sebelum melaksanakan tarif baharu, terutamanya terhadap China.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan melihat langkah ini pada sudut yang positif, dengan menyatakan bahawa pendekatan yang lebih berhati-hati ini meningkatkan keyakinan pelabur, yang dicerminkan menerusi kenaikan volum dagangan hari ini.
Sentimen ini terus diperkukuh dengan prospek ekonomi China yang lebih baik, dengan pertumbuhan ekonomi 2024 menepati sasaran kerajaan sebanyak 5.0 peratus, dan data jualan runcit Disember menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif.
"Sebagai satu daripada rakan dagang utama, keadaan ekonomi China yang semakin pulih dijangka memberi impak positif kepada pendapatan korporat Malaysia," katanya.
Dalam kalangan sektor, hartanah dan produk industri muncul sebagai sektor dengan prestasi terbaik.
"Sentimen pasaran kini lebih stabil berbanding minggu lepas, dengan sektor teknologi terus menunjukkan pemulihan yang kukuh sejak Rabu," katanya.
Di bursa tempatan, Press Metal mendahului kalangan saham wajaran tinggi, dengan kenaikan 20 sen kepada RM5.18, YTL Corp menambah 14 sen kepada RM2.37, Sunway meningkat 23 sen kepada RM4.46, Public Bank naik enam sen kepada RM4.37, dan YTL Power meningkat 12 sen kepada RM4.02.
Antara saham aktif, Harvest Miracle Capital naik setengah sen kepada 17 sen, CBH Engineering menambah 5.0 sen kepada 36.5 sen, TWL Holdings kekal pada 2.5 sen, Mah Sing meningkat 11 sen kepada RM1.49, dan Swift Energy Technology naik 2.5 sen kepada 38 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 75.53 mata kepada 12,141.36, Indeks FBM Emas Shariah naik 91.88 mata kepada 12,056.06, Indeks FBMT 100 melonjak 73.40 mata kepada 11,821.25, Indeks FBM 70 meningkat 160.18 mata kepada 18,222.67 dan Indeks ACE FBM memperoleh 51.71 mata kepada 5,246.32.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 36.55 mata kepada 18,835.75, Indeks Perladangan menambah 8.76 mata kepada 7,376.16, Indeks Tenaga meningkat 2.80 mata kepada 886.00, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.49 mata kepada 170.95.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.51 bilion unit bernilai RM2.28 bilion berbanding 1.53 bilion unit bernilai RM2.20 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.10 bilion unit bernilai RM116.40 juta berbanding 1.05 bilion unit bernilai RM105.45 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 809.45 juta unit bernilai RM215.70 juta daripada 367.47 juta unit bernilai RM137.67 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 158.53 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (261.06 juta), pembinaan (141.73 juta), teknologi (240.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.17 juta), hartanah (304.49 juta), perladangan (19.23 juta), REIT (11.89 juta), dana tertutup (5,800), tenaga (166.68 juta), penjagaan kesihatan (43.68 juta), telekomunikasi dan media (25.09 juta), pengangkutan dan logistik (23.75 juta), utiliti (69.57 juta), dan amanah perniagaan (84,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial