PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Lengang Minggu Depan Berikutan Cuti Tahun Baharu Cina

25/01/2025 10:31 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami dagangan lengang minggu depan berikutan perayaan Tahun Baharu Cina, menurut peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh.

Beliau berkata dengan ramai peniaga berkemungkinan bercuti, julat harga akan tertumpu kepada pengambilan untung, secara amnya antara RM3,700 dan RM4,000 setan.

"Permintaan fizikal akan datang dari India, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah, dan Amerika Syarikat, dengan jangkaan tiada kekurangan minyak sawit minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng mengunjurkan pasaran MSM akan diniagakan secara mendatar berikutan minggu dagangan yang lebih pendek dan kekurangan petunjuk pasaran.

“Kami menjangkakan harga antara RM4,100 satu tan dan RM4,280 satu tan minggu depan,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Februari 2025 meningkat RM47 kepada RM4,488 satu tan, manakala Mac 2025 menokok RM70 kepada RM4,350 satu tan, dan April 2025 bertambah RM26 kepada RM4,216 satu tan.

Sebaliknya, kontrak Mei 2025 turun RM12 kepada RM4,110 satu tan, kontrak Jun 2025 susut RM36 kepada RM4,052 satu tan, dan kontrak Julai 2025 jatuh RM45 kepada RM4,025 satu tan.

 Jumlah dagangan mingguan susut kepada 383,178 lot daripada 445,885 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 222,762 kontrak pada Jumaat berbanding 223,575 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan turun RM100 kepada RM4,550 satu tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan