Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup sedikit rendah hari ini dipengaruhi oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh di tengah-tengah retorik tarif lebih ketara daripada Presiden AS, Donald Trump yang mengukuhkan kekuatan dolar dalam pasaran yang lebih luas.
Pada 6 petang, ringgit sedikit susut berbanding dolar AS kepada 4.3760/3825 daripada 4.3750/3800 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kebimbangan mengenai tarif muncul semula walaupun konflik perdagangan di antara AS dan Colombia dapat dielakkan.
“Walaupun ringgit mencatatkan penurunan, prestasinya lebih baik pada awal sesi dagangan kerana ia kekal diperkukuh oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan keputusan berhemat bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah yang stabil.
"Walaupun nada Trump yang lebih berdamai terhadap Presiden Xi dari China memberi sedikit sokongan kepada mata wang Asia, ia tidak mencukupi untuk menampung kekuatan dolar yang mendominasi," katanya kepada Bernama.
Innes berkata keupayaan ringgit untuk stabil terutamanya di atas paras 4.40 akan banyak bergantung kepada perkembangan dalam hubungan perdagangan AS-China pada beberapa minggu akan datang.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 2.8313/8357 daripada 2.8115/8149 pada penutup Jumaat lepas dan susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4643/4724 daripada 5.4373/4435.
Sementara itu, ia menokok sedikit berbanding Euro kepada 4.5900/5968 daripada 4.5911/5964.
Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9840/13.0110 daripada 13.0015/0241 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.50 daripada 7.50/7.51.
Ringgit berkurang nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 270.6/271.0 daripada 270.5/270.9 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2518/2569 daripada 3.2482/2522.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial