Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin di tengah-tengah kenaikan tarif terbaharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Kanada, Mexico dan Cina, demikian menurut penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.4710/4800 daripada paras penutup 4.4550/4600 pada Jumaat minggu lepas.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata meskipun kenaikan tarif oleh AS itu, terdapat isyarat positif dari China yang menunjukkan hasrat untuk memulakan rundingan perdagangan.
Paling ketara adalah rancangan Beijing untuk tidak menurunkan nilai yuan, satu langkah yang dilihat sebagai tawaran damai kepada Washington memandangkan persepsi AS sejak sekian lama yang menganggap China sebagai manipulator mata wang, katanya.
“Walaupun kenaikan tarif itu tidak dapat dinafikan mendadak, namun pasaran merasakan ketegangan perdagangan kali ini tidak berlarutan seperti sebelum ini.
"Prospek tarif itu akan ditarik balik lebih cepat memberikan sedikit sokongan, namun keadaan turun naik pasaran dijangka kekal tinggi," kata Innes kepada Bernama.
Beliau berkata, dasar perdagangan Donald Trump yang tidak boleh diduga bermakna tempoh 24 hingga 48 jam akan datang boleh menjadi penting dalam menetapkan trajektori ringgit.
“Pasaran akan memantau sebarang perkembangan, kemungkinan kejayaan diplomatik atau malah perubahan keputusan tidak dijangka dari Washington,” kata Innes.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkara seterusnya yang perlu dipantau ialah bagaimana reaksi Rizab Persekutuan AS (Fed) terhadap perkembangan semasa apabila para pegawainya akan mengadakan beberapa sesi libat urus awam mereka pada minggu ini.
“Kenyataan yang cenderung kepada kenaikan kadar akan bermakna prospek bagi dolar AS kekal positif, menyokong pandangan bahawa Fed tidak terdesak untuk menurunkan kadar dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8838/8898 daripada 2.8798/8832, naik berbanding euro kepada 4.5747/5839 daripada 4.6247/6299 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4966/5077 daripada 5.5336/5398.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2709/2777 daripada 3.2854/2896 dan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1345/1687 daripada 13.2274/2498, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 271.7/272.5 daripada 273.2/273.6 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.64 daripada 7.63/7.64.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial