PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Disebabkan Ketidakpastian Pelan Tarif Terbaru Trump

10/02/2025 07:33 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini berikutan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap import keluli dan aluminium yang mendorong permintaan untuk logam selamat itu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun hasil AS lebih tinggi dan dolar lebih kukuh, emas melawan graviti hingga mencecah paras tertinggi berikutan ketidaktentuan mengenai rancangan tarif Presiden AS Donald Trump.

“Apabila ia meningkat seiring dengan dolar yang lebih kukuh dan hasil yang meningkat, ia adalah pelindung terhadap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi itu sendiri.

"Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin melihat anjakan paradigma yang mana emas berfungsi sebagai aset perlindungan risiko paling utama," katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Februari 2025 meningkat kepada US$2,900.40 setiap auns troy daripada US$2,871.50 setiap auns troy pada Jumaat lalu, manakala kontrak Mac 2025 bertambah kepada US$2,907.50 setiap auns troy daripada US$2,882.50 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak April 2025, Mei 2025 dan Jun 2025 naik kepada US$2,915.50 setiap auns troy berbanding US$2,888.10 setiap auns troy ketika ditutup pada Jumaat.

Jumlah dagangan melonjak kepada 100 lot daripada 36 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka meningkat dua kali ganda kepada 138 kontrak daripada 69 kontrak sebelumnya. 

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 7 Feb, harga emas fizikal berada pada US$2,874.65 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan