Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan lebih rendah minggu hadapan disebabkan kelemahan dalam eksport baru -baru ini, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Permintaan dari India terus kurang memberangsangkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, bagaimanapun keadaan dijangka bertambah baik menjelang akhir minggu.
“Kami mengunjurkan komoditi itu akan diniagakan antara RM4,500 dan RM4,700 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies, Jim Teh meramalkan harga MSM akan berlegar antara RM4,100 dan RM4,300 satu tan, walaupun stok agak rendah seperti yang didedahkan dalam Laporan Prestasi Industri Januari 2025 oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Isnin lepas.
MPOB berkata stok minyak sawit yang diproses di Malaysia turun 2.90 peratus kepada 790,817 tan pada Januari berbanding 814,426 tan yang dicatatkan semasa bulan sebelum ini, manakala jumlah inventori minyak sawit merosot 7.55 peratus kepada 1.58 juta tan daripada 1.71 juta tan yang disaksikan pada Disember lepas.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Februari 2025 jatuh RM56 kepada RM4,725 satu tan.
Kontrak Mac 2025 meningkat sebanyak RM99 kepada RM4,700 satu tan, April 2025 memperoleh RM88 kepada RM4,592 satu tan, Mei 2025 menambah RM90 kepada RM4,499 satu tan, Jun 2025 naik RM84 kepada RM4,404 satu tan dan Julai 2025 menokok RM60 kepada RM4,321 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 430,283 lot berbanding 375,637 lot yang disaksikan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 230,867 kontrak daripada 227,401 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan merosot RM20 kepada RM4,800 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial