Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang ASEAN berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih kukuh pada suku akhir 2024, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, ringgit melonjak kepada 4.4265/4350 berbanding dolar AS daripada 4.4310/4385 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan KDNK Malaysia pada suku keempat 2024 adalah lebih tinggi daripada anggaran awal, menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
“Defisit fiskal pada tahun lepas turun kepada RM79.2 bilion atau 4.1 peratus daripada KDNK berbanding anggaran kerajaan sebanyak RM84.3 bilion atau 4.3 peratus daripada KDNK.
“Ini menunjukkan langkah konsolidasi fiskal telah menjana hasil yang memberangsangkan, yang boleh menjadi faktor positif dari perspektif agensi penarafan kredit,” katanya kepada Bernama hari ini.
Oleh itu, Mohd Afzanizam mengunjurkan ringgit dapat melepasi paras sokongan segera pada 4.43 hari ini berdasarkan perkembangan terkini.
Beliau berkata ringgit berada dalam kedudukan yang baik untuk permulaan positif hari ini dalam persekitaran petunjuk perbelanjaan pengguna yang lemah di Amerika Syarikat (AS).
Ini akan menyebabkan Rizab Persekutuan (Fed) AS lebih berwaspada terhadap risiko yang wujud daripada kelembapan perbelanjaan pengguna, katanya.
“Jumlah jualan runcit terkini di AS mencatatkan lebih rendah daripada jangkaan kepada -0.9 peratus bulan ke bulan pada Januari berbanding anggaran konsensus sebanyak -0.1 peratus,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6425/6514 daripada 4.6437/6515 pada Jumaat lepas dan naik berbanding pound kepada 5.5708/5814 daripada 5.5769/5863, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9124/9183 daripada 2.9048/9099 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3041/3109 daripada 3.3055/3113 dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.1152/1485 daripada 13.1761/2059 sebelum ini.
Ia turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 272.3/273.0 daripada 272.6/273.2 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.67 daripada 7.66/7.68 pada Jumaat lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial