PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

17/02/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia terjejas oleh jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi pada tengah hari ini, diterajui oleh sektor perkhidmatan kewangan dan utiliti.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.47 mata atau 0.47 peratus kepada 1,584.13 daripada 1,591.60 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.88 mata kepada 1,592.48, merupakan paras tertinggi harian tetapi merosot kepada paras terendah 1,583.69 sebelum rehat tengah hari.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 663 berbanding 265 manakala 404 kaunter tidak berubah, 976 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.84 bilion unit bernilai RM962.06 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran kekal lemah di peringkat tempatan, didorong oleh aliran keluar institusi asing dan jualan di kaunter tertentu termasuk CelcomDigi Bhd, Able Global Bhd, Notion VTec Bhd dan YBS International Bhd.

“Bagaimanapun, dengan harga minyak sawit mentah yang pulih, kami menjangka saham perladangan akan mendapat semula momentum meningkat dan sektor pembinaan akan terus mendapat manfaat daripada pembinaan pusat data, inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pendapatan suku akhir 2024 yang akan dikeluarkan bulan ini.

“Akhir sekali, kami kekal positif di kaunter berkaitan Genting walaupun ia dikeluarkan daripada indeks MSCI, berdasarkan penilaian dan hasil dividen yang menarik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan lapan sen kepada RM10.48, CIMB merosot lima sen kepada RM8.30, Public Bank susut dua sen kepada RM4.47 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM7.26. Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM13.92.

Richtech Digital yang mula disenaraikan di Pasaran ACE menerajui kaunter aktif, naik 9.5 sen kepada 34.5 sen manakala Ingenieur Gudang dan Harvest Miracle, masing-masing meningkat setengah sen kepada 5.5 sen dan 15.5 sen.

Sebaliknya, Dialog Group merosot satu sen kepada RM1.56 dan Aizo Group berkurangan 1.5 sen kepada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 56.80 mata kepada 12,049.81, Indeks FBMT 100 berkurangan 55.79 mata kepada 11,758.16 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 46.64 mata kepada 11,800.87.

Indeks FBM 70 jatuh 85.65 mata kepada 17,785.58 dan Indeks FBM ACE merosot 24.16 mata kepada 5,110.62.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 38.56 mata kepada 7,416.36, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.21 mata kepada 164.20.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 97.86 mata kepada 19,244.78 manakala Indeks Tenaga naik 0.93 mata kepada 799.48.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan