PASARAN > BERITA

Indeks Utama Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Jualan Oleh Dana Asing

17/02/2025 07:52 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin berikutan penjualan oleh dana asing yang berterusan, meskipun kebanyakan pasaran serantau merekodkan prestasi lebih baik.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.84 mata atau 0.55 peratus kepada 1,582.76 daripada 1,591.60 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.88 mata lebih tinggi kepada 1,592.48 sekali gus menjadi paras tertinggi harian, dan kemudian turun serendah 1,580.94 pada pertengahan petang.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 715 berbanding 313, manakala 465 kaunter tidak berubah, 815 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.98 bilion unit bernilai RM1.95 bilion daripada 3.27 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah bagi hari ketiga berturut-turut, dengan penurunan diterajui sektor telekomunikasi dan utiliti.

“Walaupun pasaran tempatan lemah namun ekuiti Asia mencatatkan peningkatan pada Isnin, didorong oleh prestasi kukuh dalam sektor teknologi Hong Kong, dengan pelaburan berterusan didorong lonjakan minat susulan DeepSeek.

“Memandangkan tempoh pelaporan prestasi kewangan sedang berlangsung, Alibaba dan Baidu dijangka mengumumkan prestasi mereka inggu ini, yang boleh menunjukkan potensi pertumbuhan perolehan didorong kecerdasan buatan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek juga berkata data positif pertumbuhan ekonomi Jepun yang berbeza dengan data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang lemah, melonjakkan yen berbanding dolar AS.

“Pasaran AS akan ditutup pada 17 Februari susulan cuti Persekutuan, Hari Presiden. Walaupun ancaman serta merta tarif balas AS telah ditangguhkan sehingga April namun kebimbangan mengenai kemungkinan levi berasaskan cukai nilai tambah di negara lain masih ada,” katanya.

Di peringkat rantau, Nikkei 225 Jepun naik 0.06 peratus kepada 39,174.25; Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.71 peratus kepada 3,904.85; Kospi Korea Selatan menokok 0.75 peratus kepada 2,610.42; Indeks Shanghai Komposit China menambah 0.27 peratus kepada 3,355.83, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.02 peratus untuk ditutup pada 22,616.23.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras tempatan yang bergerak menghampiri paras sokongan 1,580 menimbulkan risiko penurunan seterusnya.

“Memandangkan pelabur terus berhati-hati menjelang prestasi suku keempat 2024 yang dijangka diumumkan pada akhir Februari, kami menyarankan pelabur supaya mengurangkan pendedahan dagangan dan mengekalkan dana sehingga ada petunjuk pasaran yang lebih jelas.

“Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,570 hingga 1,600 minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Antara kaunter berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.56, CIMB turun lima sen kepada RM8.30, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing kurang dua sen kepada RM4.47 dan RM7.25. Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM13.92.

Richtech Digital yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menerajui kaunter aktif apabila naik tujuh sen kepada 32 sen dengan 223.13 juta saham bertukar tangan.

Dialog turun satu sen kepada RM1.56, dan TWL Holdings menguncup setengah sen kepada dua sen.

Ingenieur Gudang meningkat setengah sen kepada 5.5 sen manakala Harvest Miracle tidak berubah pada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 61.49 mata kepada 12,045.12; Indeks FBMT 100 turun 61.99 mata kepada 11,751.96; dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 73.68 mata kepada 11,773.83.

Indeks FBM 70 berkurangan 79.56 mata kepada 17,791.67 dan Indeks FBM ACE turun 5.83 mata kepada 5,128.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 53.16 mata kepada 19,289.48; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.07 mata kepada 163.92, Indeks Perladangan menguncup 21.98 mata kepada 7,432.94, dan Indeks Tenaga susut 0.26 mata kepada 798.29.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.34 bilion unit bernilai RM1.64 bilion daripada 1.50 bilion unit bernilai RM2.10 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 1.01 bilion unit bernilai RM91.84 juta berbanding 1.21 bilion unit bernilai RM123.59 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 623.75 juta unit bernilai RM218.33 juta daripada 555.34 juta unit bernilai RM179.51 juta pada Jumaat minggu lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 232.58 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (300.57 juta), pembinaan (106.25 juta), teknologi (142.57 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (46.79 juta), hartanah (148.11 juta), perladangan (13.18 juta), REIT (13.56 juta), dana tertutup (21,300), tenaga (174.41 juta), penjagaan kesihatan (73.75 juta), telekomunikasi dan media (20.04 juta), pengangkutan dan logistik (48.11 juta), utiliti (25.78 juta), serta amanah perniagaan (43,400).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan