KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penyusutannya pada tengah hari Selasa susulan tekanan jualan merentasi papan indeks dan seiring pasaran serantau berikutan prestasi semalaman Wall Street yang hambar, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 17.08 mata atau 1.08 peratus kepada 1,567.17 daripada 1,584.25 di akhir dagangan semalam.
Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 1.52 mata kepada 1,582.73.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 809 berbanding 155 dengan 334 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,052 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.76 bilion saham bernilai RM1.21 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street melanjutkan kerugiannya menjelang musim pelaporan prestasi saham wajaran tinggi teknologi selain faktor kelemahan data ekonomi yang menunjukkan permintaan pengguna terus lemah.
“Kami menjangkakan Wall Street menyaksikan dagangan tidak menentu susulan prestasi niaga hadapan Hong Kong yang susut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Public Investment Bank Bhd berkata minggu akan datang akan turut mengetengahkan perkembangaan terkini berkaitan keyakinan pengguna dan inflasi -- topik yang menjadi tumpuan Wall Street selepas mencatat penyusutan pada minggu lepas.
Laporan baru-baru ini menunjukkan sentimen pengguna kian merosot dengan unjuran inflasi terus buruk, sebahagiannya disebabkan oleh faktor tarif serta dasar lain yang didorong oleh Presiden AS Donald Trump.
“Inflasi tinggi akan hanya menghalang Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) daripada menyuntik dasar atau rangsangan untuk meredakan ekonomi dan pasaran kewangan menerusi pendekatan kadar faedah lebih rendah.
“Rizab Persekutuan telah mengekalkan kadar faedah utama selepas bertindak mengurangkannya secara ketara sehingga akhir tahun lepas. Pada mesyuarat dasar terakhirnya pada Januari lepas, pegawai Fed membayangkan kemungkinan untuk mengekalkan penangguhan itu seketika berikutan kebimbangan mengenai tarif dicadangkan Trump serta tindakan pengusiran pendatang secara besar-besaran selain faktor lain yang boleh menaikkan inflasi,” katanya.
Malacca Securities berkata peluang akan wujud dalam sektor pembinaan dan runcit susulan keadaan lebihan jualan dan unjuran lebih kukuh selain laporan pendapatan 99 Speedmart yang mantap.
Di sebalik aktiviti jualan baru-baru ini, firma pembrokeran itu yakin peniaga akan menumpukan aktiviti belian saham berharga rendah ketika strategi teras Microsoft kekal bagi strategi pusat data dan unjuran 10 tahun bagi pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, ia juga berpendapat bahawa saham penjagaan kesihatan dan teknologi terpilih seperti KPJ dan ITMAX sesuai bagi tujuan pelaburan jangka panjang.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Maybank tidak berubah pada RM10.48, CIMB susut 16 sen kepada RM8.22, Public Bank rugi dua sen kepada RM4.45, Tenaga Nasional berkurangan 26 sen kepada RM13.38 dan IHH Healthcare meraih tiga sen kepada RM7.28.
Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang kekal pada lima sen, TWL naik setengah sen kepada 2.5 sen, MY E.G. Services turun 2.5 sen kepada 98.5 sen dan SFP Tech susut 3.5 sen kepada 36 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 168.68 mata kepada 11,748.33, Indeks FBMT 100 merosot 162.28 mata kepada 11,495.13, Indeks FBM Emas Shariah merosot 179.83 mata kepada 11,427.18, Indeks FBM 70 menguncup 385.08 mata kepada 16,848.34 dan Indeks FBM ACE kehilangan 115.36 mata kepada 4,790.33.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 164.96 mata kepada 19,141.62 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.92 mata kepada 158.43, Indeks Tenaga merosot 11.56 mata kepada 757.31 dan Indeks Perladangan turun 20.33 mata pada 7,549.97.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial