PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

25/02/2025 09:40 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Ringgit menyusut daripada dolar AS ketika ditutup hari ini, selepas mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh hampir tiga minggu, memaparkan cabaran untuk menembusi paras RM4.40 berikutan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa tarif ke atas Mexico dan Kanada akan diteruskan seperti yang dirancang.

Pada 6 petang, ringgit berkurangan kepada 4.4210/4255 berbanding 4.4080/4110 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) telah menerima daya tarikan, meningkat kepada 106.632 mata.

Beliau berkata tempoh akhir satu bulan untuk menangguhkan tarif ke atas Kanada dan Mexico kian hampir, dan Trump dilihat bersedia untuk menaikkan tarif sekiranya tiada konsesi dilaksanakan.

Selain itu, pentadbiran Trump dijangka mengukuhkan lagi langkah terhadap China dengan mengehadkan eksport cip mikro dan menggalakkan sekutu-sekutu AS untuk melakukan perkara yang sama.

“Situasi mengenai kebimbangan tarif adalah berubah-ubah dan sekali sekala memberikan tekanan ke atas pasaran mata wang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan menyusut berbanding mata wang utama lain.

Ia berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.9552/9584 daripada 2.9471/9495, menurun berbanding pound Britain kepada 5.5806/5863 daripada 5.5704/5742 dan rendah berbanding euro kepada 4.6301/6348 daripada 4.6156/6188.

Mata wang tempatan bergerak bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2997/3034 daripada 3.2950/2975 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.64 daripada 7.62/7.63.

Bagaimanapun, ringgit lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.1132/1324 daripada 13.1508/1672 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 270.0/270.4 daripada 270.7/271.1.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan