Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri penurunan selama dua hari untuk ditutup pada paras tertinggi harian hari ini, dengan indeks komposit meningkat 1.32 peratus, didorong oleh pembelian semasa harga murah susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini.
Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 20.68 mata kepada 1,588.71 daripada 1,568.03 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks utama itu dibuka 1.76 mata lebih rendah kepada 1,566.27 dan seterusnya mencecah paras terendah harian 1,565.46 sebelum bergerak dalam trajektori meningkat sehingga penutupan dagangan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 534 berbanding 471, manakala 473 kaunter tidak berubah, 898 kaunter tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.81 bilion unit bernilai RM2.47 bilion daripada 3.14 bilion unit bernilai RM2.64 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pemulihan pasaran menunjukkan penjualan besar-besaran yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan kepanikan dan sentimen jangka masa pendek.
Beliau berkata penjualan itu bukan didorong oleh sebarang penurunan asas terhadap prospek ekonomi atau korporat Malaysia.
“Ketiadaan limpahan daripada prestasi lemah Wall Street dalam tempoh semalaman mengukuhkan lagi pandangan bahawa pelabur tempatan dapat membezakan asas domestik dengan ketidaktentuan global yang lebih luas, menunjukkan kestabilan dalam sentimen pasaran,” katanya.
Beliau berkata peningkatan semula menyeluruh hari ini yang juga merentas sektor turut menunjukkan daya tahan ekuiti Malaysia, dan penurunan baru-baru ini sebahagian besar adalah tindak balas dan bukannya perubahan struktur.
“Ini menunjukkan pelabur mungkin sedang melaraskan semula pegangan mereka seiring dengan kembalinya keyakinan secara beransur-ansur,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata untuk momentum itu berterusan, FBM KLCI mesti menembusi paras rintangan 1,590 dengan ketara.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan indeks utama serantau juga mengalami peningkatan semula susulan sentimen yang telah bertambah baik.
“Indeks Hang Seng mencatatkan kenaikan kukuh, didorong oleh optimisme mengenai kemajuan kecerdasan buatan (AI) DeepSeek, yang mengukuhkan keyakinan terhadap kemajuan teknologi China.
“Di samping itu, pelabur sedang memantau rapat pengumuman prestasi keuntungan Nvidia hari ini untuk menilai keutuhan dan kemampanan dagangan AI itu,” katanya.
Thong berkata bagi pasaran tempatan, pihaknya mengekalkan pendirian yang berhati-hati dalam jangka masa pendek walaupun berlaku kenaikan hari ini, susulan penjualan asing yang berterusan.
Oleh itu, indeks penanda aras itu dijangka bergerak mendatar dengan kecenderungan meningkat dan telah melaraskan sasaran mingguan FBM KLCI kepada 1,570 hingga 1,600.
Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank melonjak 24 sen kepada RM10.70, CIMB menambah lima sen kepada RM8.28, Public Bank menokok sembilan sen kepada RM4.55, Tenaga Nasional meningkat 18 sen kepada RM13.58, manakala IHH Healthcare turun satu sen kepada RM7.30.
Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang turun setengah sen kepada empat sen, SFP Tech dan My E.G. Services masing-masing kurang 2.5 sen kepada 32 sen dan 95 sen, Datasonic susut dua sen kepada 27.5 sen, manakala Leong Hup International naik 2.0 sen kepada 63 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 127.97 mata kepada 11,884.27, Indeks FBMT 100 meningkat 135.04 mata kepada 11,639.05, Indeks FBM Emas Shariah menokok 97.70 mata kepada 11,532.58, dan Indeks FBM 70 meningkat 131.72 mata kepada 17,003.34 namun, Indeks FBM ACE kurang 9.71 mata kepada 4,798.89.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 331.94 mata kepada 19,477.55, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.69 mata kepada 159.39, Indeks Perladangan naik 59.46 mata kepada 7,542.06, dan Indeks Tenaga menambah 8.22 mata kepada 762.62.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.58 bilion unit bernilai RM2.23 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran sebanyak 818.87 juta unit bernilai RM100.62 juta berbanding 941.25 juta unit bernilai RM98.24 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 414.92 juta unit bernilai RM138.96 juta daripada 454.78 juta unit bernilai RM145.01 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 218.81 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (451.36 juta), pembinaan (106.48 juta), teknologi (235.53 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (95.74 juta), hartanah (146.68 juta), perladangan (26.76 juta), REIT (14.02 juta), dana tertutup (18,000), tenaga (113.31 juta), kesihatan (63.55 juta), telekomunikasi dan media (32.84 juta), pengangkutan dan logistik (37.83 juta), utiliti (40.61 juta), serta amanah perniagaan (217,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial