Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu berikutan sentimen pasaran yang positif, dengan harga melepasi RM4,400 satu tan metrik untuk kontrak penanda aras Mei 2025, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM meningkat apabila sentimen pasaran dirangsang oleh ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Potensi tarif China ke atas kacang soya AS mungkin mengalihkan permintaan daripada kacang soya kepada minyak sawit, membawa kepada permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit dan sekali gus meningkatkan sentimen pasaran.
“Kami menjangkakan harga MSM akan berada pada paras sokongan RM4,280 satu tan dan paras rintangan pada RM4,500 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2025 meningkat RM69 kepada RM4,669 satu tan, April 2025 naik RM64 kepada RM4,520 satu tan, dan Mei 2025 bertambah RM68 kepada RM4,417 satu tan.
Sementara itu, kontrak Jun 2025 dan Julai 2025 masing-masing naik RM71 kepada RM4,322 satu tan dan RM4,242 satu tan, manakala Ogos 2025 meningkat RM65 kepada RM4,189 satu tan.
Jumlah dagangan bagaimanapun, susut kepada 90,251 lot daripada 91,888 lot semalam, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 236,629 kontrak daripada 238,082 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan menambah RM60 kepada RM4,760 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial