Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup tinggi sedikit pada Isnin, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah yang lebih kukuh.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM sedang pulih daripada penurunan sebelum ini, dipacu oleh angka eksport yang lebih baik daripada jangkaan yang meningkatkan sentimen pasaran.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 satu tan dan paras rintangan pada RM3,950 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, menurut syarikat pemeriksaan bebas AmSpec Agri Malaysia, eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 25 Mei meningkat 7.3 peratus kepada 991,702 tan daripada 923,893 tan yang dihantar bagi tempoh 1 hingga 25 April.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2025 naik RM11 kepada RM3,835 satu tan, Julai 2025 meningkat RM7 kepada RM3,843 satu tan dan Ogos 2025 menokok RM6 kepada RM3,833 satu tan.
September 2025 berkembang RM4 kepada RM3,825 satu tan, Oktober 2025 melonjak RM5 kepada RM3,829 satu tan dan November 2025 bertambah RM2 kepada RM3,833 satu tan.
Jumlah dagangan menurun kepada 34,817 lot daripada 54,070 lot sebelumnya manakala kepentingan terbuka merosot kepada 243,913 kontrak daripada 244,075 kontrak.
Harga fizikal MSM untuk Jun Selatan berkurang RM10 kepada RM3,870 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial