Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan lebih rendah semasa dagangan awal hari ini, terkesan dengan kekurangan berita penggerak pasaran berikutan peniaga menunggu lebih banyak penjelasan mengenai tarif daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata penganalisis.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.59 mata kepada 1,532.71 daripada 1,534.30 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka lebih tinggi 0.94 mata kepada 1,535.24.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 171 berbanding 146, dengan 257 kaunter tidak berubah, 1,821 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 158.99 juta unit bernilai RM85.26 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata pasaran mungkin mengalami penyusutan selanjutnya di tengah-tengah aliran keluar dana asing yang berterusan.
“Selain itu, memandangkan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, dan dalam pendirian tidak pasti pentadbiran Trump mengenai tarif, kami menjangka pasaran akan mengamalkan pendirian defensif, dan momentum dalam amanah pelaburan hartanah mungkin berterusan,” katanya.
Menurutnya Wall Street ditutup pada Isnin bersempena Hari Peringatan tetapi niaga hadapan ekuiti AS meningkat apabila pelabur memberi maklum balas positif terhadap lanjutan tarikh akhir tarif terhadap Kesatuan Eropah oleh Trump.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kalangan peniaga turut menyatakan kebimbangan perang harga yang berpanjangan dalam kalangan pemain kenderaan elektrik bagi menghabiskan inventori akan menyebabkan pengecilan margin yang berterusan.
Di dalam negara, FBM KLCI ditutup rendah sedikit pada Isnin berikutan penjualan oleh pelabur asing dijangka masih meluas.
"Perdagangan jangka pendek oleh dana asing ini pastinya akan memanjangkan tempoh konsolidasi indeks petunjuk pasaran. Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks itu berada dalam julat antara 1,535-1545," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menyusut empat sen kepada RM9.88 manakala Public Bank rendah tiga sen kepada RM4.38, Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing susut dua sen kepada RM13.98 dan RM6.89, dan CIMB berkurangan satu sen kepada RM6.95.
Antara saham aktif, NexG menokok satu sen kepada 37.5 sen, MYEG naik 1.5 sen kepada 91 sen, OCR Group dan Velesto masing-masing tidak berubah pada RM3.5 sen dan 17 sen manakala Armada susut satu sen kepada 47.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 5.55 mata kepada 11,450.14, Indeks FBMT 100 berkurangan 6.59 mata kepada 11,212.12, dan Indeks FBM ACE susut 8.20 mata kepada 4,589.87.
Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.14 mata kepada 11,390.13 dan Indeks FBM 70 menambah 10.58 mata kepada 16,313.94.
Di seluruh sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih tinggi 23.92 mata kepada 18,147.16, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.02 mata kepada 153.72, Indeks Tenaga merosot 1.34 mata kepada 704.57 dan Indeks Perladangan naik 0.65 mata kepada 7,336.02.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial