PASARAN > BERITA

Bursa Dibuka Tinggi Didorong Oleh Optimisme Terhadap Perancangan Pelaburan Digital Negara

29/05/2025 10:31 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, didorong oleh optimisme terhadap perancangan pelaburan digital negara walaupun Wall Street mencatatkan penurunan semalaman.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, perancangan pelaburan digital Malaysia mencecah RM59.1 bilion setakat April 2025, memacu pertumbuhan dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.66 mata kepada 1,525.14 daripada 1,523.48 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.12 mata kepada 1,525.60.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 147 berbanding 123 manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,879 tidak diniagakan dan 110 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 107.21 juta saham bernilai RM57.59 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah semalaman berikutan laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengarahkan syarikat perisian AS untuk menghentikan perkhidmatan kepada syarikat China.

Bagaimanapun, katanya pendapatan Nvidia, yang dikeluarkan selepas pasaran ditutup, mengatasi unjuran konsensus, sekali gus memulihkan sentimen pelabur dan meningkatkan niaga hadapan AS.

Dalam negara, FBM KLCI merosot semalam walaupun bermula dengan kukuh berikutan sentimen pasaran kekal tidak stabil.

“Oleh itu, kami menjangka konsolidasi berterusan tanpa pemangkin dengan indeks dijangka berada antara 1,520 dan 1,530 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking menambah dua sen kepada RM9.86, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.34 dan CIMB naik tiga sen kepada RM6.90. Tenaga Nasional mendatar pada RM14.10 manakala IHH Healthcare merosot satu sen kepada RM6.90.

Dalam dagangan aktif, Avangaad, Harvest Miracle, MYEG dan Sumisaujana, masing-masing tidak berubah pada 28 sen, 18 sen, 89 sen dan 17.5 sen manakala Nationgate menambah tiga sen kepada RM1.61.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.37 mata kepada 11,404.54, Indeks FBMT 100 meningkat 8.73 mata kepada 11,170.10 dan Indeks FBM ACE menambah 6.24 mata kepada 4,555.58.

Indeks FBM Emas Shariah naik 1.35 mata kepada 11,376.86 manakala Indeks FBM 70 berkurangan 0.68 mata kepada 16,305.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 13.43 mata kepada 17,971.33, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.09 mata kepada 152.61, Indeks Tenaga merosot 2.39 mata kepada 704.12 manakala Indeks Perladangan meningkat 2.29 mata kepada 7,294.84.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan