KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada sesi pagi dalam dagangan tidak menentu, berikutan sentimen pasaran lebih berhati-hati meskipun pasaran global mencatatkan peningkatan susulan keputusan mahkamah Amerika Syarikat (AS) yang menggantung pelaksanaan tarif Presiden Donald Trump.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.29 mata kepada 1,522.19 daripada 1,523.48 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.12 mata lebih tinggi pada 1,525.60, bergerak dalam julat antara 1,518.38 dan 1,526.94 sepanjang sesi pagi.
Pada keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 428 berbanding 400, manakala 418 kaunter tidak berubah, 1,140 tidak diniagakan dan 110 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.15 bilion saham bernilai RM1.05 bilion.
Menurut laporan Mahkamah Persekutuan AS menggantung tarif Hari Pembebasan Trump, dengan memutuskan bahawa Presiden melangkaui kuasanya dengan mengenakan tarif secara menyeluruh ke atas import dari negara-negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.
Seorang penganalisis berkata meskipun Wall Street mencatatkan lonjakan semalaman, Bursa Malaysia ditutup rendah pada tengah hari, dengan kalangan pelabur kekal berhati-hati sambil menunggu lebih kejelasan mengenai kesan daripada perkembangan pertikaian tarif terkini, meskipun pasaran global memberi reaksi positif.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.87 dan Public Bank menokok satu sen kepada RM4.34, manakala Tenaga merosot dua sen kepada RM14.08 dan CIMB turun satu sen kepada RM6.86. Sementara itu, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.91.
Kalangan kaunter aktif, Pemaju susut setengah sen kepada satu sen, manakala Harvest Miracle dan TA Win masing-masing tidak berubah pada 18 sen dan dua sen. Tanco naik satu sen kepada RM1.04 dan NexG menokok setengah sen kepada 37 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 0.89 mata kepada 11,398.06, Indeks FBM ACE menokok 14.36 mata kepada 4,563.70, namun Indeks FBMT 100 turun 2.12 mata kepada 11,159.24.
Indeks FBM Emas Shariah menokok 8.71 mata kepada 11,384.22, manakala Indeks FBM 70 melonjak 25.90 mata kepada 16,332.56.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menjunam 44.17 mata kepada 17,913.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.82 mata kepada 153.52, Indeks Tenaga susut 0.36 mata kepada 706.15, manakala Indeks Perladangan melonjak 26.14 mata kepada 7,318.69.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial