KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia terus mencatatkan prestasi bercampur-campur ketika ditutup hari ini, seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah, kata peniaga.
Katanya, perkembangan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China membantu menyokong sentimen pasaran.
“Pegawai Amerika Syarikat dan China berkata mereka telah mencapai rangka kerja bagi meneruskan perjanjian perdagangan selepas rundingan peringkat tertinggi selama dua hari di London, dengan tumpuan kepada sekatan eksport nadir bumi dan cip,” katanya.
Kebanyakan saham di Asia meningkat pada Rabu, dengan pasaran China mendahului di tengah-tengah keyakinan terhadap perjanjian rangka kerja perdagangan dengan AS, walaupun pelabur masih menunggu butiran lanjut mengenai perbincangan perdagangan.
Bagaimanapun, peniaga berkata kenaikan selanjutnya dihadkan oleh prospek ekonomi global yang lebih lemah memandangkan ketidaktentuan mengenai tarif AS masih berterusan.
“Bank Dunia pada Selasa menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2025 kepada 2.3 peratus, dengan menyatakan bahawa tarif yang lebih tinggi dan ketidaktentuan yang meningkat menimbulkan masalah besar kepada hampir semua ekonomi,” katanya.
Menurut laporan, Rizab Persekutuan AS dijangka menangguhkan kadar faedah kepada sekurang-kurangnya beberapa bulan lagi, kerana risiko berlarutan bahawa inflasi mungkin melonjak semula susulan dasar tarif Presiden Donald Trump.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 2.5 sen kepada 709.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut tiga sen kepada 587.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial