Oleh Anas Abu Hassan dan Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan indeks petunjuk pasaran susut 0.15 peratus berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham mewah terpilih, walaupun prestasi pasaran utama serantau mencatat sentimen lebih baik, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 2.32 mata kepada 1,514.29 daripada 1,516.61 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks barometer itu yang dibuka rendah 2.36 mata kepada 1,514.25, bergerak ke paras terendah 1,511.09 dalam dagangan awal sebelum pulih sedikit untuk mencapai paras tertinggi harian 1,519.06 semasa sesi pertengahan pagi.
Sementara itu, keseluruhan pasaran adalah positif, dengan 634 kaunter untung mengatasi 346 kaunter rugi manakala 458 kaunter tidak berubah, 1,000 tidak diniagakan dan 41 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.53 bilion unit bernilai RM2.04 bilion berbanding 3.09 bilion unit bernilai RM1.91 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup lebih tinggi apabila sentimen pelabur yang lebih baik berikutan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai gencatan senjata sementara antara Israel dan Iran.
Di dalam negara, Thong berkata sentimen di bursa tempatan dijangka kekal berhati-hati namun optimis berikutan perkembangan geopolitik yang sedang berlaku.
“Bagaimanapun memandangkan rundingan damai masih belum dimuktamadkan, pelabur dinasihatkan supaya kekal berwaspada,” katanya kepada Bernama sambil memaklumkan indeks utama dijangka bergerak antara 1,500 hingga 1,530 minggu ini.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur dilihat mengambil pendekatan berhati-hati hari ini di tengah-tengah situasi pasaran semasa.
“Sentimen tunggu dan lihat juga dapat diperhatikan dalam penyertaan pasaran secara keseluruhan, dengan jumlah dagangan susut berbanding hari sebelumnya,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 13 sen kepada RM9.80 manakala Public Bank susut 11 sen kepada RM4.31, Tenaga Nasional menyusut empat sen kepada RM14.26, CIMB rendah tiga sen kepada RM6.77, dan IHH Healthcare berkurangan 26 sen kepada RM6.59.
Bagi saham paling aktif diniagakan, syarikat berkaitan minyak dan gas Reservoir Link susut 12 sen kepada 31 sen dan Hibiscus Petroleum merosot 16 sen kepada RM1.67 manakala Tanco naik dua sen kepada 94 sen dan syarikat baru disenaraikan di Pasaran Utama iaitu Cuckoo dan D’nonce Technology masing-masing kekal pada RM1.08 dan tiga sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 1.15 mata kepada 11,288.03 manakala Indeks FBMT 100 menyusut 11.58 mata kepada 11,072.32.
Selain itu, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 12.24 mata kepada 11,224.15, Indeks FBM 70 naik 6.89 mata kepada 16,078.98 dan Indeks FBM ACE bertambah 39.86 mata kepada 4,417.71.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.68 mata kepada 17,678.47 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.59 mata kepada 148.97 manakala Indeks Perladangan merosot 1.52 mata kepada 7,229.03 dan Indeks Tenaga susut 18.06 mata kepada 727.89.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.33 bilion unit bernilai RM1.83 bilion daripada 1.43 bilion unit bernilai RM1.65 bilion semasa ditutup pada Isnin.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 962.11 juta unit bernilai RM125.76 juta berbanding 1.26 bilion unit bernilai RM166.41 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 241.75 juta unit bernilai RM88.63 juta daripada 404.29 juta unit bernilai RM92.58 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 212.95 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (219.59 juta), pembinaan (82.64 juta), teknologi (182.53 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (83.43 juta), hartanah (139.67 juta), perladangan (20.78 juta), REIT (12.04 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (205.68 juta), penjagaan kesihatan (65.67 juta), telekomunikasi dan media (47.88 juta), pengangkutan dan logistik (20.45 juta), utiliti (34.36 juta), dan amanah perniagaan (27,900).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial