Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Khamis susulan konflik di Timur Tengah yang semakin mereda, kata Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes.
Beliau berkata spekulasi mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) yang lebih awal daripada jangkaan, serta kelemahan dolar AS turut menyokong sentimen pasaran.
“Penurunan dolar semakin ketara selepas Presiden AS Donald Trump mencadangkan kemungkinan mengumumkan pengganti kepada Pengerusi Fed, Jerome Powell, lebih awal daripada jadual asal, satu isyarat politik yang jelas dan boleh menjejaskan kebebasan Fed.
"Ini sekali gus meningkatkan daya tarikan emas sebagai lindung nilai terhadap ketidaktentuan dasar monetari,” katanya kepada Bernama.
Media melaporkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menamakan pengerusi baharu Fed lebih awal, langkah yang dilihat sebagai cubaan untuk melemahkan kedudukan pengerusi sedia ada yang enggan menurunkan kadar faedah seperti diminta oleh beliau.
Kontrak bulan semerta Jun 2025 naik kepada US$3,340.80 setiap auns troy daripada US$3,325.30 setiap auns troy pada Rabu, manakala Julai 2025 menokok US$3,355.10 daripada US$3,328.20 setiap auns troy sebelum itu.
Kontrak bagi Ogos, September dan Oktober 2025 semuanya naik kepada US$3,370.80 setiap auns troy daripada US$3,354.20 setiap auns troy semalam.
Jumlah dagangan susut kepada 13 lot berbanding 34 lot semalam, manakala kepentingan terbuka turun kepada 36 kontrak daripada 71 kontrak sebelum itu.
Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 25 Jun, harga emas fizikal adalah pada US$3,318.25 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial