Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya rendah berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada jangkaan memalapkan prospek penurunan kadar faedah bulan ini, sekali gus meningkatkan daya tarikan dolar AS berbanding logam berharga itu.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dagangan emas pada masa ini banyak dipengaruhi oleh jangkaan pasaran mengenai hala tuju Rizab Persekutuan AS (Fed) pada masa hadapan.
"Berikutan bacaan data tinjauan peluang pekerjaan dan perolehan buruh (JOLTS) serta data pembuatan ISM yang positif, peluang untuk penurunan kadar faedah pada Julai dilihat suram. Ini menyebabkan dolar AS mengukuh sedikit dan mengurangkan minat terhadap emas," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Innes menegaskan bahawa ini bukan perubahan yang mendadak, cuma pelarasan kecil mengikut jangkaan kadar faedah semasa.
Kontrak bulan semerta Julai 2025 susut kepada US$3,352.80 setiap auns troy daripada US$3,358.30 setiap auns troy sebelumnya, manakala Ogos 2025 merosot kepada US$3,368.10 setiap auns troy daripada US$3,373.10 setiap auns troy.
Kontrak September 2025 pula meningkat kepada US$3,383.00 setiap auns troy daripada US$3,373.10, sementara kontrak Oktober dan Disember 2025 masing-masing turun kepada US$3,402.20 daripada US$3,406.80 pada Selasa.
Jumlah dagangan meningkat kepada 23 lot berbanding 19 lot sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 45 kontrak daripada 35 kontrak.
Harga emas fizikal berada pada US$3,349.00 setiap auns troy menurut penetapan oleh pihak London Bullion Market Association pada 1 Julai, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial