BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Malaysia Ditutup Rendah

03/07/2025 05:45 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Khamis, sejajar dengan trend penurunan yang dialami pasaran niaga hadapan getah serantau dan penyusutan harga minyak mentah, kata peniaga.

Beliau berkata pasaran niaga hadapan getah Jepun mengakhiri kenaikan dua hari berturut-turut, diseret turun boleh penurunan harga minyak mentah.

“Harga minyak mentah turun pada Khamis apabila pelabur mengambil langkah lebih berhati-hati terhadap kemungkinan pengembalian tarif lebih tinggi oleh Amerika Syarikat (AS), yang boleh menjejaskan permintaan bahan api.

“Dalam pada itu, pengeluar utama pula dijangka mengumumkan peningkatan pengeluaran,” katanya kepada Bernama.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent turun 0.90 peratus kepada US$68.49 setong.

Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas ekoran data ekonomi AS dan China yang hambar berikutan ketidakpastian berkenaan tarif perdagangan AS dan krisis yang berterusan di Timur Tengah.

“Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Perkhidmatan Caixin/S&P Global China turun kepada 50.6 pada Jun daripada 51.1 pada Mei, menandakan pertumbuhan paling lembap sejak September 2024, namun masih kekal di atas paras 50 mata yang memisahkan pertumbuhan daripada penguncupan.

“Pasaran buruh AS dijangka terus perlahan pada Jun dengan kadar pengangguran mungkin meningkat kepada 4.3 peratus -- yang tertinggi dalam tempoh lebih tiga setengah tahun -- apabila ketidaktentuan ekonomi akibat dasar pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengekang pengambilan pekerja,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jualan kenderaan elektrik buatan China meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun pada Jun, mengakhiri rentetan penurunan selama lapan bulan.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut 6.5 sen kepada 704.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 5.5 sen kepada 576.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan