BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Bercampur-campur

03/07/2025 07:02 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis, apabila kenaikan kukuh berterusan yang dialami indeks penanda aras baru-baru ini telah dikekang berikutan aktiviti jualan saham wajaran tinggi terpilih yang berlanjutan -- diterajui Tenaga Nasional -- telah mengehadkan kenaikan, kata penganalisis.

Syarikat utiliti tenaga itu ditutup 58 sen atau 3.97 peratus clebih rendah kepada RM14.02, menyumbang sejumlah 5.80 mata kepada penurunan indeks penanda aras, dengan 33.31 juta saham bertukar tangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.22 mata atau 0.08 peratus kepada 1,548.99 daripada 1,550.21 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 4.07 mata lebih rendah kepada 1,546.14 dan berlegar antara 1,540.35 hingga 1,548.99 sepanjang dagangan hari ini.

Pasaran secara keseluruhannya positif dengan 629 kaunter untung mengatasi 389 kaunter rugi, manakala 468 kaunter tidak berubah, 902 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.09 bilion unit bernilai RM2.94 bilion daripada 3.11 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Rabu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah apabila sentimen pelabur berubah menjadi sedikit berhati-hati dalam keadaan aktiviti pengambilan untung, walaupun pasaran secara amnya kekal kukuh.

“Penurunan indeks penanda aras itu mencerminkan prestasi tidak menentu dalam kalangan kaunter saham mewah, dipengaruhi ketidaktentuan eksport yang berlarutan dan turun naik ketara perdagangan luar yang berulang,” katanya.

Mohd Sedek berkata bagaimanapun, segmen pasaran domestik yang lebih luas menunjukkan daya tahan yang ketara.

“Indeks Teknologi Bursa Malaysia meningkat 4.0 peratus, disokong oleh minat belian yang kukuh dalam kaunter semikonduktor dan berkaitan elektronik, sejajar dengan kenaikan yang dipacu sektor teknologi di Wall Street. Sektor Produk Perindustrian turut mencatatkan kenaikan, menandakan pusingan pelaburan mengikut sektor secara terpilih,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM9.80, CIMB dan CelcomDigi masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM6.79 dan RM3.92, manakala IHH Healthcare meningkat 2.0 sen kepada RM6.85. Public Bank pula susut 2.0 sen kepada RM4.30.

Bagi saham paling aktif, Borneo Oil kekal pada setengah sen, manakala Zetrix AI, NEXG dan Tanco masing-masing naik 1.0 sen kepada 97.5 sen, 39 sen dan 90 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 65.61 mata kepada 11,617.70, Indeks FBMT 100 melonjak 331.15 mata kepada 11,391.92, manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 38.19 mata kepada 11,638.02.

Indeks FBM 70 meningkat 221.29 mata kepada 16,832.53, sementara Indeks FBM ACE menambah 48.93 mata kepada 4,528.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.83 mata kepada 17,734.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.54 mata kepada 156.01, dan Indeks Perladangan menambah 39.87 mata kepada 7,435.83, manakala Indeks Tenaga susut 3.66 mata kepada 743.51.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.08 bilion unit bernilai RM2.66 bilion daripada 1.27 bilion unit bernilai RM2.09 bilion semalam.

Dagangan waran melonjak kepada 1.70 bilion unit bernilai RM191.47 juta daripada 1.55 bilion unit bernilai RM198.51 juta pada Rabu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 314.46 juta unit bernilai RM91.46 juta daripada 283.75 juta unit bernilai RM87.58 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 163.82 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.58 bilion), pembinaan (127.82 juta), teknologi (353.71 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (50.33 juta), hartanah (185.72 juta), perladangan (20.09 juta), REIT (29.86 juta), dana tertutup (12,100), tenaga (78.41 juta), penjagaan kesihatan (318.31 juta), telekomunikasi dan media (53.39 juta), pengangkutan dan logistik (31.83 juta), utiliti (91.40 juta), dan amanah perniagaan (49,200).

Sementara itu, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Eco World International Bhd mengumumkan pihaknya telah menukar namanya kepada EWI Capital Bhd, dan sahamnya akan diniagakan serta disebut di bawah nama baharu itu berkuat kuasa mulai pukul 9 pagi, Isnin, 7 Julai, 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan