Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengekalkan momentum menaik, disokong oleh minat pelabur yang diperbaharui terhadap aset-aset selamat susulan tarikh akhir tarif Amerika Syarikat (AS) pada 9 Julai, yang menambahkan lagi ketidaktentuan kepada pasaran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sekiranya pengumuman akhir tarif itu memberi isyarat kepada peningkatan ketegangan dalam perdagangan, emas berkemungkinan menarik minat belian yang lebih tinggi.
“Kebimbangan yang lebih meluas terhadap pertumbuhan global, inflasi dan risiko geopolitik terus menyokong komoditi berharga ini. Selain itu, sebarang petunjuk kelemahan dalam dolar AS atau pendekatan berdiplomasi daripada bank pusat AS boleh mengukuhkan lagi trend kenaikan harga emas.
“Bagaimanapun, unjuran keseluruhan kekal optimis dengan berhati-hati memandangkan pasaran menunggu petunjuk dasar yang lebih jelas,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Julai 2025 susut kepada US$3,351.30 setiap auns troy daripada US$3,355.10 setiap auns troy, kontrak Ogos 2025 turun kepada US$3,366.40 setiap auns troy daripada US$3,370.80 setiap auns troy, manakala kontrak September meningkat kepada US$3,381.30 setiap auns troy daripada US$3,370.80 setiap auns troy pada minggu lalu.
Kontrak Oktober dan Disember 2025 masing-masing meningkat kepada US$3,400.10 setiap auns troy daripada US$3,370.80 setiap auns troy pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan menyusut kepada 133 lot berbanding 173 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 84 kontrak daripada 36 kontrak sebelumnya.
Menurut penetapan harga oleh London Bullion Market Association pada 3 Julai, harga emas fizikal berada pada US$3,332.15 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial