Oleh Siti Noor Afera Abu and Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan mendatar minggu depan, dengan momentum indeks yang meningkat bergantung pada data makroekonomi utama dari China dan Amerika Syarikat (AS).
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur akan memantau data dari China, terutamanya angka perdagangan pada Jun dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua.
“Walaupun konsensus menjangka pertumbuhan KDNK kekal pada 5.0 peratus, kelemahan berterusan dalam sektor hartanah boleh mewujudkan semula spekulasi mengenai rangsangan ekonomi.
“Di AS, jualan runcit pada Jun akan menjadi petunjuk utama terhadap kekuatan perbelanjaan pengguna dan potensi implikasi terhadap hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka terdapat aktiviti pengambilan untung pada minggu depan.
“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI berada dalam julat 1,530 hingga 1,560. Sektor yang dijangka terus mendapat perhatian termasuklah perbankan, telekomunikasi, hartanah, pembinaan dan pengguna,” katanya.
Bagi minggu baru berakhir, indeks petunjuk pasaran merosot 14.12 mata kepada 1,536.07 daripada 1,550.19 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas berkurangan 74.14 mata kepada 11,543.58, Indeks FBMT 100 jatuh 81.96 mata kepada 11,308.74 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 65.35 mata kepada 11,552.47.
Indeks FBM 70 merosot 25.69 mata kepada 16,761.35 manakala Indeks FBM ACE meningkat 11.77 mata kepada 4,538.17.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 183.09 mata kepada 17,608.13, Indeks Perladangan menambah 1.71 mata kepada 7,459.45 dan Indeks Tenaga merosot 3.99 mata kepada 737.62.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 16.21 bilion unit bernilai RM11.43 bilion daripada 17.25 bilion unit bernilai RM12.62 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 6.99 bilion unit bernilai RM10.02 bilion daripada 9.22 bilion unit bernilai RM11.41 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 7.82 bilion unit bernilai RM911.38 juta daripada 6.62 bilion unit bernilai RM772.30 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.41 bilion unit bernilai RM490.78 juta daripada 1.40 bilion unit bernilai RM437.52 juta sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial