Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini disokong oleh kenaikan harga minyak sawit olein dan minyak kacang soya di Bursa Komoditi Dalian (DCE), China.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata pasaran dibuka lebih tinggi secara mendadak dengan kontrak September paling aktif mencapai paras tertinggi dalam tiga bulan susulan harga minyak masak yang lebih kukuh di DCE sekali gus meningkatkan minat belian.
“Walaupun eksport dilihat menurun pada separuh pertama Julai, para peniaga tetap optimis terhadap peningkatan pembelian dari India menjelang musim perayaan Deepavali pada Oktober,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng turut mengaitkan kenaikan harga hari ini dengan pengukuhan pasaran luar.
“MSM ditutup lebih tinggi disebabkan harga minyak kacang soya dan minyak mentah lebih kukuh yang terus mempengaruhi sentimen dalam keseluruhan pasaran minyak sayuran.
“Kami melihat harga sokongan kukuh di atas paras RM4,150 setan dan paras rintangan pada RM4,280,” kata Ng.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai naik sebanyak RM39 kepada RM4,109 setiap tan, Ogos 2025 menokok RM39 kepada RM4,183 setiap tan manakala September 2025 berkembang RM56 kepada RM4,230 setiap tan.
Oktober 2025 bertambah sebanyak RM64 kepada RM4,241 setiap tan, November 2025 meningkat RM62 kepada RM4,236 setiap tan manakala Disember 2025 naik RM56 kepada RM4,231 setiap tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 79,930 lot daripada 87,673 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka susut kepada 230,086 kontrak daripada 231,427 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan berkembang sebanyak RM30 kepada RM4,190 setiap tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial