PASARAN > BERITA

Pelabur Terus Teliti Impak Tarif AS, Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

15/07/2025 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan pergerakan kurang memberangsangkan dalam dagangan tengah hari ini ketika pelabur terus meneliti impak tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas rakan dagang utama negara itu di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.25 mata atau 0.28 peratus kepada 1,533.26 daripada paras penutup 1,537.51, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.45 mata kepada 1,536.06 an bergerak dalam julat 1,532.41 hingga 1,538.56 pada sesi itu.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 464 berbanding 367 manakala 477 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,121 tidak didagangkan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.86 bilion unit bernilai RM1.04 bilion.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan FBM KLCI kekal dalam fasa konsolidasi ketika pelabur terus meneliti implikasi penularan semula retorik mengenai tarif AS lebih meluas yang menyasarkan rakan dagang utamanya.

Indeks petunjuk utama terus tertekan oleh gabungan faktor luaran dan domestik yang merangkumi ketidakpastian mengenai rundingan tarif AS dan Malaysia dengan jangkaan proses berlanjutan bagi mengurangkan duti import sebanyak 25 peratus menjelang tarikh akhir pada 1 Ogos ini.

“Sehubungan itu, kami melihat paras sokongan dan rintangan mingguan FBM KLCI masing-masing pada 1,500-1,528 dan 1,551-1,570,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng pula percaya momentum pasaran tempatan akan lebih baik di masa akan datang walaupun implikasi penurunan kadar dasar semalaman (OPR) tidak mungkin dirasai secara mendadak.

“Oleh itu, bagi hari ini, kami menjangkakan indeks kekal dalam julat dagangan yang kecil 1,535 hingga 1,545,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing rugi empat sen kepada RM9.68, RM13.94 dan RM6.65 manakala Public Bank turun tiga sen kepada RM4.31 dan IHH Healthcare susut satu sen kepada RM6.58.

Bagi saham paling aktif, NexG naik setengah sen kepada 47.5 sen, Nationgate meraih lapan sen kepada RM1.69 dan SNS Network untung 1.5 sen kepada 56.5 sen, manakala Zetrix AI turun 5.5 sen kepada 93 sen dan Tanco kekal tidak berubah pada 90.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 27.60 mata kepada 11,530.86, Indeks FBMT 100 berkurangan 29.55 mata kepada 11,291.49 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 27.79 mata kepada 11,532.81.

Indeks FBM 70 pula merosot 36.13 mata kepada 16,751.07 manakala Indeks FBM ACE naik 17.48 mata kepada 4,589.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 80.17 mata kepada 17,583.70, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.49 mata kepada 154.36, Indeks Tenaga berkurangan 4.66 mata kepada 742.72 manakala Indeks Perladangan meningkat 3.91 mata kepada 7,438.01.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan