KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal dalam wilayah negatif pada tengah hari, seiring dengan prestasi lemah pasaran serantau yang dipengaruhi oleh tekanan jualan saham wajaran tinggi terpilih.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.42 mata kepada 1,579.18 daripada 1,586.60 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.31 mata lebih kukuh pada 1,586.91 dan bergerak antara 1,577.81 dan 1,595.31 sepanjang sesi pagi.
Pasaran secara keseluruhan adalah negatif dengan kaunteru rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 577 daripada 307, 491 tidak berubah, 1,189 tidak diniagakan dan 17 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.40 bilion unit bernilai RM1.17 bilion.
Hong Leong Investment Bank Bhd berkata prestasi Wall Street meningkat semalaman selepas Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan mengukuhkan unjuran terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) pada 17 Sept ini.
“Sentimen risiko turut disokong oleh penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari yang diumumkan Presiden AS Donald Trump dengan China serta keyakinan menjelang sidang kemuncak gencatan senjata Trump-Putin di Alaska bagi menamatkan perang Rusia-Ukraine yang telah berlarutan selama tiga tahun.
“Fokus kini beralih kepada data Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS malam ini bagi mendapatkan petunjuk mengenai ukuran inflasi pilihan Rizab Persekutuan AS,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi pasaran tempatan, ia berkata FBM KLCI melonjak hampir ke paras 1,590 ketika ditutup semalam, memberi isyarat momentum kenaikan berterusan, dengan paras rintangan disemak lebih tinggi kepada 1,600, 1,615 dan 1,640 mata.
Bagaimanapun, katanya, volatiliti jangka pendek mungkin berterusan berikutan tekanan jualan asing yang berterusan.
Bank pelaburan itu turut memaklumkan bahawa aliran keluar bersih setakat tahun ini berjumlah RM14.50 bilion, tertinggi sejak RM24.6 bilion pada 2020 yang dipacu pandemik, dan ketidaktentuan tarif sementara Malaysia menunggu penjelasan daripada AS mengenai cip keluaran Malaysia selepas Trump mencadangkan levi 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang dibuat di luar AS.
“Selain itu, volatiliti jangka pendek boleh berlarutan berikutan musim pelaporan pendapatan syarikat yang hambar dan kekurangan pemangkin kenaikan daripada keputusan korporat.
“Risiko dasar dalam negara, termasuk kebimbangan berterusan terhadap rasionalisasi subsidi dan kemungkinan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan, mungkin menjejaskan sentimen pengguna serta mengaburi prospek pendapatan,” katanya.
Antara kaunter berwajaran tinggi, YTL Power International susut 13 sen kepada RM4.16, YTL Corporation turun 8.0 sen kepada RM2.49 dan Tenaga Nasional berkurangan 14 sen kepada RM13.66, manakala IHH Healthcare naik 4.0 sen kepada RM6.95 dan Petronas Chemicals menambah 3.0 sen kepada RM3.63.
Bagi kaunter aktif, Oxford Innotech menokok 2.5 sen kepada 40.5 sen, Mtouche Technology dan TWL masing-masing menambah setengah sen kepada 3.5 sen dan 3.0 sen, manakala Tanco naik 1.5 sen kepada 72 sen, sementara XOX Technology susut setengah sen kepada 3.0 sen.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas turun 58.86 mata kepada 11,745.32, Indeks FBMT 100 berkurangan 60.56 mata kepada 11,528.45, Indeks FBM Emas Syariah merosot 63.48 mata kepada 11,705.07, Indeks FBM ACE susut 11.57 mata kepada 4,643.04 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 115.49 mata kepada 16,660.87.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 37.65 mata kepada 18,036.25, Indeks Perladangan turun 17.61 mata kepada 7,580.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.17 mata kepada 158.34, manakala Indeks Tenaga berkurangan 2.26 mata kepada 735.38.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial