KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup tinggi pada Isnin, mencerminkan pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah hasil Perbendaharaan AS yang lebih rendah.
Dalam pada masa yang sama, para peniaga menantikan hasil pertemuan antara Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dengan Presiden AS Donald Trump.
Selain itu, petunjuk daripada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan pada 21 Ogos turut dinanti-nantikan kerana pemain pasaran dilihat yakin bahawa Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat September nanti.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 naik kepada US$3,348.50 setiap auns troy daripada US$3,344.10 setiap auns troy pada Jumaat minggu lepas.
Kontrak September 2025 meningkat kepada US$3,353.90 setiap auns troy daripada US$3,349.50 pada Jumaat, kontrak Oktober 2025 menokok sedikit kepada US$3,383.30 setiap auns troy daripada US$3,378.90 sebelum ini, manakala kontrak November 2025 menambah kepada US$3,400.10 setiap auns troy daripada US$3,395.70 sebelumnya.
Sementara itu, kontrak Disember 2025, Februari 2026 dan April 2026 semuanya ditutup lebih tinggi kepada US$3,419.70 setiap auns troy daripada US$3,415.20 pada Jumaat.
Jumlah dagangan melonjak kepada 11 lot daripada empat lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka turut meningkat kepada 45 kontrak daripada 38 kontrak sebelum ini.
Harga emas fizikal berada pada US$3,335.50 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 15 Ogos, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial