Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding dolar AS dan mata wang negara-negara serantau lain di tengah-tengah sentimen dagangan yang berhati-hati.
Ini berikutan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan malam tadi menunjukkan hampir semua peserta mesyuarat menyokong untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2235/2275 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2250/2290 pada Rabu.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat FOMC menunjukkan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan pendirian semasanya ketika ia terus menilai impak daripada kejutan tarif terhadap inflasi.
“Tetapi pandangan berbeza oleh dua ahli FOMC yang memilih penurunan 25 mata asas pada mesyuarat itu membayangkan impak kenaikan tarif terhadap inflasi dijangka bersifat sementara.
"Kita akan lihat sama ada pandangan ini akan dipersetujui dalam kalangan ahli FOMC ketika mereka menilai data yang masuk," katanya kepada Bernama sambil menambah pemain pasaran akan memantau rapat Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole Fed esok bagi sebarang isyarat perubahan dasar.
Ringgit ditutup kebanyakannya tinggi hari ini berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6899/6953 daripada 5.7033/7087 pada Rabu, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8595/8626 daripada 2.8648/8677 namun turun berbanding euro kepada 4.9226/9263 daripada 4.9196/9242 sebelumnya.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2819/2853 daripada 3.2864/2898 pada Rabu, meningkat berbanding baht Thai kepada 12.9460/9638 daripada 12.9756/9935, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 259.2/259.6 daripada 259.6/260.0 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.42 daripada 7.41/7.42.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial