Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan aktiviti pengambilan untung menjelang pengeluaran data ekonomi AS yang akan diumumkan hari ini serta menjelang akhir minggu bekerja.
Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.2160/2210 berbanding dolar AS daripada 4.2045/2105 ketika ditutup semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, laporan keyakinan pengguna daripada US Conference Board akan diumumkan lewat hari ini.
Katanya, ia diikuti dengan semakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua AS pada Khamis dan data inflasi teras Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang menjadi tumpuan pada Jumaat.
“Selain itu, Gabenor Rizab Persekutuan AS (Fed) Christopher Waller dijadualkan menyampaikan ucapan pada Khamis.
"Setelah mengundi bagi penurunan kadar pada Julai dan dianggap sebagai pesaing utama untuk menggantikan Jerome Powell sebagai Pengerusi Fed pada Mei depan, komen beliau mengenai dasar monetari akan memberi impak yang besar kepada pasaran,” katanya kepada Bernama.
Laporan keyakinan pengguna US Conference Board mengukur tahap keyakinan pengguna terhadap aktiviti ekonomi.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berita mengenai kemungkinan pemberhentian Gabenor Fed, Lisa Cook sedang menjadi tumpuan.
“Masih belum pasti sama ada tindakan tersebut sah dan kemungkinan tindakan balas oleh Lisa Cook boleh menarik lebih perhatian terhadap dinamika di antara Rumah Putih dan Fed. Drama ini boleh memberi tekanan ke atas dolar.
“Prospek dolar AS yang lebih rendah semakin meningkat dan secara tidak langsung, ringgit boleh mengukuh berbanding dolar AS dalam jangka sederhana hingga panjang. Pada dasarnya, dasar ekonomi (Presiden AS) Trump seperti tarif, Akta One Big Beautiful Bill (OBBBA), pengusiran pendatang selain menjejaskan kebebasan Fed dilihat berkemungkinan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan dolar AS,” tambahnya.
Walaupun begitu, Mohd Afzanizam berkata ringgit hari ini lebih lemah berbanding dolar AS kerana para peniaga mungkin mengambil keuntungan sebelum laporan inflasi AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.9087/9145 daripada 4.9163/9233 ketika ditutup pada Isnin, tetapi merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8571/8607 daripada 2.8534/8577 serta melemah berbanding pound Britain kepada 5.6827/6895 daripada 5.6740/6821.
Ia diniagakan secara bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Mata wang tempatan turun sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2786/2828 daripada 3.2761/2810 semalam, berkurang berbanding baht Thailand kepada 12.9707/9917 daripada 12.9561/9801 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 258.6/259.0 daripada 258.5/259.1 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.40 daripada 7.41/7.43 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial