Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra harinya hari ini selepas penurunan pada sesi awal, mendapat sokongan daripada minat belian lewat dan pengumuman pendapatan korporat yang kukuh, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.32 mata, atau 0.40 peratus, kepada 1,587.91 daripada paras penutup 1,581.59 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.18 mata kepada 1,581.77 dan kemudiannya menyusut ke paras rendah 1,576.75 pada sesi awal dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 557 berbanding 512, manakala 505 kaunter tidak berubah, 1,065 tidak diniagakan dan 69 digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.09 bilion unit bernilai RM2.93 bilion daripada 4.30 bilion unit bernilai RM6.46 bilion pada Selasa.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup bercampur-campur apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati sementara menunggu pengumuman laporan pendapatan Nvidia lewat malam ini.
"Pelabur melihat keputusan Nvidia sebagai penanda aras kritikal bagi landskap teknologi, terutamanya berikutan keraguan yang semakin meningkat terhadap keupayaan kecerdasan buatan (AI) untuk menyediakan keuntungan mampan," katanya kepada Bernama.
Di pasaran tempatan, Thong berkata sentimen telah bertambah baik susulan pengumuman laporan pendapatan kukuh oleh beberapa syarikat.
"Memandangkan indeks petunjuk pasaran kembali mencecah paras 1,585 dengan jumlah dagangan melepasi paras purata, kami percaya momentum aliran meningkat akan kekal utuh.
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam jajaran 1,580–1,620 bagi tempoh berbaki minggu ini," katanya.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen tempatan disokong terutamanya daripada kekuatan dalam sektor perbankan dan pembinaan, yang terus menunjukkan daya tahan.
“Sokongan juga diperoleh daripada komponen indeks utama yang mencatatkan peningkatan lapan kali ganda dalam keuntungan bersih suku keempatnya, yang merangsang aktiviti dagangan kukuh dengan lebih 51 juta saham bertukar tangan.
"Perkembangan ini membantu mengimbangi sentimen lemah dalam kaunter pengguna dan teknologi terpilih," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional menokok 4.0 sen masing-masing kepada RM9.79 dan RM13.48, Kumpulan CIMB meningkat 6.0 sen kepada RM7.46, dan IHH Healthcare naik 2.0 sen kepada RM6.79, manakala Public Bank susut 9.0 sen kepada RM4.33.
Dalam kalangan kaunter paling cergas, Sime Darby naik 28 sen kepada RM1.90, Tanco Holdings tidak berubah pada 72 sen, Pharmaniaga meningkat setengah sen kepada 17.5 sen, NexG menokok 2.5 sen kepada 50 sen dan Nationgate melonjak 18 sen kepada RM1.40.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 54.97 mata kepada 11,789.24, Indeks FBMT 100 menokok 54.62 mata kepada 11,560.84, Indeks FBM Emas Shariah melantun 94.58 mata kepada 11,771.86, Indeks FBM 70 meningkat 116.42 mata kepada 16,569.59, manakala Indeks FBM ACE susut 4.70 mata kepada 4,746.95.
Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.92 mata kepada 164.54, Indeks Tenaga menambah 0.93 mata kepada 748.13, dan Indeks Perladangan meningkat 5.27 mata kepada 7,579.40, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.93 mata kepada 18,082.56.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.64 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 2.56 bilion unit bernilai RM6.11 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran turun kepada 1.06 bilion unit bernilai RM134.25 juta daripada 1.27 bilion unit bernilai RM174.86 juta sebelumnya
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 381.21 juta unit bernilai RM153.22 juta daripada 480.86 juta unit bernilai RM171.52 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 368.73 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (282.47 juta), pembinaan (99.07 juta), teknologi (230.79 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (116.29 juta), hartanah (167.66 juta), perladangan (24.33 juta), perladangan (24.33 juta), REIT (22.04 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (99.39 juta), penjagaan kesihatan (135.28 juta), telekomunikasi dan media (35.79 juta), pengangkutan dan logistik (27.70 juta), utiliti (34.71 juta), dan amanah perniagaan (299,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial