PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Mesyuarat Dasar BNM

02/09/2025 09:39 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi pada Selasa tetapi dijangka diniagakan berhati-hati hari ini berikutan peniaga akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis ini, selain laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2205/2300 daripada 4.2230/2275 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

“BNM telah melaksanakan penurunan awal OPR dan saya berpendapat tahap akomodasi dasar monetari adalah memadai untuk menyokong pertumbuhan.

“Lebih penting lagi, pasaran ingin melihat penilaian terkini bank pusat mengenai keadaan semasa ekonomi dan prospeknya,” katanya kepada Bernama. 

Pada peringkat global, katanya Indeks Sentimen Pengguna (CSI) University of Michigan yang terkini merosot lebih daripada jangkaan kepada 58.2 mata pada Ogos, di bawah anggaran konsensus sebanyak 58.6 mata.

“Setakat ini, CSI mencatatkan purata 59.8 mata dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 73.0 mata dalam tempoh sama pada tahun lepas, menunjukkan pengguna berhati-hati terhadap keadaan ekonomi AS,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata NFP merupakan petunjuk penting kepada keputusan Fed pada 17 September, terutamanya apabila terdapat semakan semula yang ketara pada prestasi bulan Jun dan Mei.

“Anggaran konsensus meletakkan NFP dicatatkan sebanyak 74,000 pada Ogos, lebih tinggi daripada 73,000 pada Ogos lepas,” katanya.

Oleh itu, katanya ringgit dijangka berada antara RM4.21 dan RM4.22 hari ini berikutan dolar AS menunjukkan aliran penurunan berbanding mata wang utama lain.

Pada masa yang sama, ringgit dibuka kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8691/8758 daripada 2.8708/8741 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.7171/7300 daripada 5.6833/6894 dan rendah berbanding euro kepada 4.9443/9554 daripada 4.9291/9343. 

Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Mata wang tempatan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 257.0/257.7 daripada 255.9/256.3, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2875/2952 daripada 3.2859/2899 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.0601/13.0976 daripada 13.0327/0519 pada Jumaat lepas.

Ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.40 daripada 7.39/7.40 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan