Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini disokong oleh aktiviti belian lewat di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur dan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.58 mata kepada 1,576.70 daripada paras penutup 1,575.12 pada Jumaat. Indeks utama itu dibuka tinggi naik 1.74 mata kepada 1,576.86 dan bergerak antara paras 1,561.36 dan 1,576.91 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 735 berbanding 336, manakala 490 kaunter tidak berubah, 978 tidak diniagakan dan tujuh digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 2.90 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 3.08 bilion unit bernilai RM3.16 bilion pada Jumaat lepas.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) tidak berubah.
Bagaimanapun beliau berkata keputusan itu tidak dijangka memberi kesan kepada prestasi FBM KLCI hari ini.
"Sebenarnya, prestasi pasaran adalah baik; ia hanya perlu memperlahankan sedikit aktiviti. Tetapi kemudiannya belian lewat dagangan muncul tanpa diduga," katanya kepada Bernama.
Thong berkata bagi minggu ini beliau menjangkakan FBM KLCI didagangkan dalam aliran 1,570-1,600.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan FBM KLCI diniagakan tidak berubah dalam minggu dagangan pendek ini susulan cuti umum Maulidur Rasul pada 5 Sept (Jumaat).
“Sentimen dijangka kekal berhati-hati apabila para pelabur memantau potensi kesan limpahan daripada pergolakan politik di Indonesia, khususnya dalam saham mewah Malaysia yang mempunyai pendedahan terhadap sektor perbankan dan perladangan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Pada penutup dagangan, kaunter wajaran tinggi Maybank melonjak 16 sen kepada RM10.06, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.30 dan Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM13.24. IHH Healthcare menokok satu sen pada RM6.80, manakala CIMB Group susut 19 sen kepada RM7.24.
Dalam kaunter dagangan cergas, Ekovest turun tiga sen kepada 34.5 sen, Sime Darby susut lima sen kepada RM2.02, dan Oxford Innotech turun 4.5 sen kepada 36.5 sen. NexG dan Tanco Holdings tidak berubah, masing-masing pada 49 sen dan 70.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 13.58 mata kepada 11,689.31, Indeks FBMT 100 susut 10.38 mata kepada 11,464.19, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 19.79 mata kepada 11,629.29, Indeks FBM 70 merosot 111.72 mata kepada 16,364.52 dan Indeks ACE FBM menyusut 44.90 mata kepada 4,677.12.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 35.79 mata kepada 18,146.81, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.86 mata kepada 161.36, Indeks Tenaga turun 1.32 mata kepada 738.90, dan Indeks Perladangan berkurangan 8.97 mata kepada 7,585.48.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.56 bilion unit bernilai RM2.54 bilion daripada 1.75 bilion unit bernilai RM2.89 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 976.94 juta unit bernilai RM134.03 juta daripada 923.30 juta unit bernilai RM143.49 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 359.72 juta unit bernilai RM119.32 juta daripada 405.71 juta unit bernilai RM131.93 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 265.85 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (276.05 juta), pembinaan (208.50 juta), teknologi (178.98 juta), perkhidmatan kewangan (128.43 juta), hartanah (180.45 juta) perladangan (21.59 juta), REITs (25.93 juta), dana tertutup (11,000), tenaga (112.56 juta), penjagaan kesihatan (59.36 juta), telekomunikasi dan media (34.44 juta), pengangkutan dan logistik (30.28 juta), utiliti (40.39 juta), dan amanah perniagaan (232,800).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial