PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Aktiviti Ambil Untung Selepas Meningkat Tiga Hari

11/09/2025 07:01 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan selama tiga hari manakala kebanyakan indeks serantau ditutup lebih tinggi selepas inflasi harga pengeluar Amerika Syarikat (AS) pada Ogos lebih perlahan berbanding jangkaan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.90 mata atau 0.5 peratus kepada 1,582.85 berbanding 1,590.75 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks berkenaan dibuka 7.92 mata lebih rendah kepada 1,582.83 dan diniagakan antara 1,580.16 hingga 1,583.82 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 483 berbanding 461 manakala 554 kaunter tidak berubah, dengan 1,124 kaunter tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan turut berkurangan kepada 2.48 bilion unit bernilai RM2.32 bilion daripada 2.66 bilion unit bernilai RM2.29 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata data AS telah meningkatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan pada masa ini lebih cenderung untuk menurunkan kadar faedah pada mesyuarat minggu hadapan, dengan pelabur menjangka sekurang-kurangnya pengurangan sebanyak suku mata.

“Prospek dasar monetari yang lebih longgar telah meningkatkan sentimen pasaran serantau sekali gus menyokong pasaran ekuiti walaupun terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap pertumbuhan global,” katanya.

Di dalam negara, Thong berkata Rakuten berpandangan bahawa aktiviti pengambilan untung ini adalah pembetulan yang sihat selepas trend kenaikan baru-baru ini.

“Kami yakin selagi indeks petunjuk pasaran berupaya kekal melepasi paras 1,580, peluang untuk melepasi 1,600 adalah lebih tinggi. Kami menjangka FBM KLCI bergerak dalam julat 1,575 hingga 1,600 menjelang hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, setakat ini, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.43 peratus kepada 26,086.32, Indeks Strait Times Singapura meningkat 0.05 peratus kepada 4,348.70, Kospi Korea Selatan naik 0.90 peratus kepada 3,344.20 dan Nikkei 225 Jepun menambah 1.22 peratus kepada 44,372.50.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 10 sen kepada RM9.77, Public Bank dan CIMB naik tiga sen kepada RM4.22 dan RM7.24, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM13.22 dan IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM7.15.

Bagi saham aktif, VS Industry naik satu sen kepada 55 sen, Pharmaniaga meningkat 2.5 sen kepada 24.5 sen,Tanco naik satu sen kepada 81 sen, 99 Speedmart kekal pada RM2.49 dan Sime Darby rendah satu sen kepada RM2.15.

Petronas Dagangan dan LPI Capital muncul kaunter paling rugi, dengan masing-masing rendah 62 sen dan 12 sen kepada RM21.38 dan RM14.34.

Kaunter paling untung hari ini diterajui oleh Malaysian Pacific Industries, menokok 52 sen kepada RM28.22, Hong Leong Industries naik 30 sen kepada RM13.78 dan UWC menambah 27 sen kepada RM3.27.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 45.41 mata kepada 16,468.74 manakala Indeks FBM ACE naik 21.61 mata kepada 4,749.71 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 6.02 mata kepada 11,775.94.

Bagaimanapun Indeks FBM Emas susut 31.41 mata kepada 11,755.04 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 35.66 mata kepada 11,515.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.25 mata kepada 164.33, Indeks Perladangan naik 3.43 mata kepada 7,685.56 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 138.89 mata kepada 17,953.26 dan Indeks Tenaga susut 2.53 mata kepada 737.53.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.39 bilion unit bernilai RM2.04 bilion daripada 1.46 bilion unit bernilai RM2.04 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 771.31 juta unit bernilai RM135.34 juta daripada 945.49 juta unit bernilai RM151.63 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 314.81 juta bernilai RM141.82 juta daripada 257.12 juta bernilai RM102.18 juta

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 219.51 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (316.57 juta), pembinaan (98.06 juta), teknologi (151.74 juta), perkhidmatan kewangan (70.13 juta), hartanah (122.70 juta), perladangan (39.89 juta), REIT (39.97 juta), dana tertutup (19,900), tenaga (92.87 juta), penjagaan kesihatan (142.59 juta), telekomunikasi dan media (38.97 juta), pengangkutan dan logistik (30.89 juta), utiliti (28.82 juta), dan amanah perniagaan (130,300).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan