PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar US

12/09/2025 09:30 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US pada Jumaat selepas kemerosotan dolar US susulan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah meningkatkan jangkaan penurunan kadar faedah.

Pada pukul 8 pagi, ringgit naik kepada 4.2065/2225 berbanding dolar US daripada 4.2185/2240 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS terkini sepadan dengan unjuran tetapi Tuntutan Pengangguran Permulaan meningkat kepada 263,000 minggu lepas, jauh melebihi jangkaan pasaran 235,000.

IHP Ogos AS meningkat 2.9 peratus, seiring dengan anggaran konsensus dan meningkat daripada 2.7 peratus pada Julai, IHP Teras kekal stabil pada 3.1 peratus untuk bulan kedua berturut-turut selepas meningkat 2.9 peratus pada Jun.

"IHP adalah dalam lingkungan jangkaan, mendorong Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama pada sesi awal.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8569/8680 daripada 2.8509/8548 ketika ditutup pada Khamis, susut berbanding pound Britain kepada 5.7095/7312 daripada 5.6954/7028 dan menguncup berbanding euro kepada 4.9351/9538 daripada 4.9293/9357.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 255.5/256.6 daripada 256.2/256.7, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2817/2945 daripada 3.2829/2874 dan melonjak berbanding peso kepada 7.35/7.39 daripada 7.37/7.39, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2576/3156 daripada 13.2432/2663 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan