KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia menamatkan sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Rabu, didorong pembelian semasa harga murah di seluruh papan, didahului kaunter berwajaran tinggi terutama melibatkan produk pengguna, telekomunikasi dan perladangan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 2.68 mata atau 0.17 peratus kepada 1,614.14 daripada 1,611.46 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.61 mata lebih tinggi kepada 1,615.07 dan bergerak antara 1,613.60 hingga 1,619.58 sepanjang sesi pagi.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan 585 kaunter untung mengatasi 382 kaunter rugi, manakala 471 kaunter tidak berubah, 1,234 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 2.46 bilion unit bernilai RM1.56 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan produk dan perkhidmatan pengguna menjadi satu-satunya sektor yang mencatatkan prestasi cemerlang semalam.
Peruntukan bantuan tunai RM15 bilion di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2026 dijangka merangsang perbelanjaan pengguna, tambah firma pembrokeran itu.
Malacca Securities menambah FBM KLCI dijangkakan terus mencatatkan dagangan dengan sentimen pelabur yang berhati-hati memandangkan hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China semakin tegang.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik dua sen kepada RM4.2, IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM8.08, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.16, CIMB Group turun satu sen kepada RM7.34, manakala Maybank kekal pada RM9.92.
Bagi saham aktif, Genting Malaysia meningkat dua sen kepada RM2.34, manakala Tanco Holdings dan Pharmaniaga masing-masing menambah setengah sen kepada 86.5 sen dan 26.5 sen.
Top Glove naik dua sen kepada 70.5 sen, dan Velesto Energy menambah satu sen kepada 26.5 sen.
Kalangan kaunter paling untung, Nestle melonjak RM1.10 kepada RM103.20, Genting Bhd naik 34 sen kepada RM3.35, dan Spritzer menokok 27 sen kepada RM2.38. United Malacca meningkat 18 sen kepada RM5.95, dan Frontken menambah 15 sen kepada RM4.54.
Kaunter paling rugi termasuk Fraser & Neave Holdings merosot 46 sen kepada RM27.64, United Plantations susut 24 sen kepada RM23.20, Malaysian Pacific Industries turun 20 sen kepada RM28.84, PPB Group menguncup 14 sen kepada RM10.92 dan Unisem turun 13 sen kepada RM3.46.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 39.20 mata kepada 12,076.23, Indeks FBMT 100 naik 36.39 mata kepada 11,804.47, dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 32.25 mata kepada 12,143.73.
Indeks FBM 70 melonjak 125.41 mata kepada 17,148.43, dan Indeks FBM ACE meningkat 90.75 mata kepada 5,284.18.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.68 mata kepada 18,207.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.04 mata kepada 173.53, dan Indeks Tenaga menokok 4.74 mata kepada 794.58.
Indeks Perladangan turut menambah 25.24 mata kepada 7,854.62.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial