PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Tinggi Minggu Depan

27/12/2025 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal positif minggu depan seiring dengan kenaikan di Bursa Komoditi Amerika Syarikat (COMEX) berikutan minggu dagangan yang singkat sempena cuti umum sambutan Tahun Baharu.

RHB Investment Bank Bhd menerusi satu nota penyelidikan berkata selepas mencatatkan satu lagi paras tertinggi semasa sesi dagangan awal pada Jumaat melebihi paras US$4,500 setiap auns troy, logam berharga itu dijangka meneruskan aliran menaiknya dan menguji rintangan seterusnya pada US$4,700 setiap auns troy, diikuti US$4,800 setiap auns troy.

“Para peniaga disyorkan untuk mengekalkan pegangan jangka panjang bermula pada US$3,562.90 (pada penutup dagangan 2 September). Bagi menangani risiko dagangan, tahap harga yang telah ditentukan diletakkan pada US$4,000 setiap auns troy. Sokongan pertama pada US$4,200 setiap auns troy, diikuti oleh US$4,000 setiap auns troy.

"Sebaliknya, rintangan serta-merta ditetapkan pada US$4,700 setiap auns troy, diikuti US$4,800 setiap auns troy," katanya.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta Disember 2025 meningkat sedikit kepada US$4,487.40 setiap auns troy daripada US$4,331.30 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak Januari 2026 menokok kepada US$4,505.10 setiap auns troy daripada US$4,349 setiap auns troy pada seminggu sebelumnya. Kontrak Februari 2026 naik kepada US$4,520.60 setiap auns troy daripada US$4,364.10 setiap auns troy, manakala Mac 2026 menambah kepada US$4,537.30 setiap auns troy daripada US$4,380.80 setiap auns troy.

Sementara itu, kontrak April 2026, Jun 2026 dan Ogos 2026 ditutup lebih tinggi kepada US$4,555.30 setiap auns troy daripada US$4,380.80 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 209 lot daripada 520 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 95 kontrak daripada 149.

Pada 23 Disember 2025 di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$4,449.40 setiap auns troy.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan