PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Rendah Minggu Depan Berikutan Peningkatan Stok

10/01/2026 10:22 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad and Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan tahap stok dan pengeluaran yang dijangka lebih tinggi dalam beberapa minggu akan datang, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd yang berpusat di Kuala Lumpur berkata tahap stok di Malaysia kini hampir mencecah tiga juta tan dan jumlah pengeluaran pada 2025 boleh melebihi 20 juta tan, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun lepas.

“Kami menjangkakan harga MSM berada dalam lingkungan RM3,950 setan hingga RM4,100 setan.

“Peniaga pasaran akan memantau dengan teliti laporan rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang dijangka dikeluarkan Isnin depan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu ini, niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berikutan harga yang kukuh di Bursa Komoditi Dalian, kenaikan harga minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan spekulasi pasaran bahawa Indonesia mungkin meningkatkan duti eksport MSM daripada 10 peratus kepada 15 peratus bagi membiayai mandat biodiesel B50.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Januari 2026 merosot RM4 kepada RM3,950 setan, manakala Februari 2026 meningkat RM31 kepada RM4,011 setan, Mac 2026 naik RM45 kepada RM4,036 setan, April 2026 melonjak RM50 kepada RM4,049 setan, Mei 2026 bertambah RM56 kepada RM4,053 setan dan Jun 2026 menokok RM50 kepada RM4,044 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 395,181 lot daripada 166,003 lot minggu lalu, manakala kepentingan terbuka menokok sedikit kepada 260,191 kontrak daripada 259,181 kontrak sebelum ini.

Harga baharu MSM fizikal bagi Januari Selatan meningkat RM10 kepada RM4,010 setan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan