PASARAN > BERITA

FBM KLCI Dibuka Rendah Tetapi Kekal Melepasi Paras 1,700 Pada Awal Dagangan

14/01/2026 10:28 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal dagangan hari ini selepas mencatat paras tertinggi dalam tempoh melebihi enam tahun, dipengaruhi oleh sentimen negatif susulan prestasi semalaman Wall Street walaupun indeks penanda aras melebihi paras 1,700.

Pada 9.05 pagi, FBM KLCI susut 3.25 mata kepada 1,704.95 daripada 1,708.20 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu memulakan dagangan dengan penurunan 2.32 mata kepada 1,704.95.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 125 berbanding 118 manakala 285 kaunter tidak berubah, 2,111 kekal tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 106.31 juta saham bernilai RM60.03 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih rendah kerana sentimen terjejas oleh ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai had kadar kad kredit selama setahun barubaru ini, selain prosiding jenayah terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell.

Di peringkat tempatan, Thong berkata minat belian dalam saham mewah akan berterusan buat masa ini, seterusnya ke saham permodalan yang lebih kecil.

“Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berada dalam lingkungan 1,705-1,720,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM10.98, CIMB merosot enam sen kepada RM8.32 dan IHH berkurangan satu sen kepada RM8.53, Public Bank dan Tenaga Nasional tidak berubah masing-masing pada RM4.64 dan RM13.80.

Bagi saham paling aktif, Ingenieur naik 0.5 sen kepada empat sen dan Capital A meningkat dua sen kepada 46 sen, MMAG, TWL dan Zetrix AI tidak berubah masing-masing pada 5.5 sen, 2.5 sen dan 82 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Hong Leong Industries melonjak 10 sen kepada RM17.10, RHB dan Hong Leong Financial menambah lapan sen masing-masing kepada RM8.13 dan RM20.18, UWC menokok enam sen kepada RM4.41, manakala IJM naik empat sen kepada RM2.78.

Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle dan Pintaras merosot enam sen masing-masing kepada RM119.20 dan RM1.44, Mulpha merosot lima sen kepada RM2.86, Spritzer dan Westports turun empat sen masing-masing kepada RM2.98 dan RM5.61, manakala Petronas Chemicals menguncup tiga sen kepada RM3.24.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 15.05 mata kepada 12,575.36, Indeks FBM Top 100 merosot 16.66 mata kepada 12,368.31 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 9.55 mata kepada 12,305.27, Indeks FBM ACE naik 0.16 mata kepada 4,982.43 dan Indeks FBM 70 merosot 7.54 mata kepada 17,535.36.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 37.99 mata kepada 20,380.33,  Indeks Tenaga menambah 1.66 mata kepada 787.87, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.03 mata kepada 173.82 dan Indeks Perladangan menurun 2.06 mata kepada 8,558.62.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan