Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan tidak berubah minggu depan disebabkan pembelian adalah terhad kepada keperluan segera dan pengisian stok semula, kata pakar industri Denis Low.
Beliau berkata pasaran diunjurkan akan kekal lengang dengan pergerakan harga dan permintaan menjadi lembap, dan menunjukkan sedikit kecenderungan untuk turun ke paras lebih rendah.
“Ini disebabkan oleh beberapa ketidakpastian. Ketegangan geopolitik membuatkan peniaga dan pengeluar berhati-hati, manakala faktor bermusim mempengaruhi produktiviti getah untuk beberapa minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.
Low berkata pada permulaan akhir musim monsun dan musim pokok getah luruh, mempengaruhi pembukaan musim baharu dan keseluruhan bekalan.
Sementara itu, seorang pedagang menjangkakan harga getah akan diniagakan secara bercampur-campur berubah kepada berhati-hati minggu depan, kebanyakannya dipengaruhi oleh pergerakan niaga hadapan getah serantau, turun naik ringgit berbanding dolar AS dan perubahan harga minyak mentah.
“Pasaran kekal disokong oleh bekalan getah asli yang terhad disebabkan oleh hujan lebat di negara pengeluar utama,” kata pedagang itu.
Para peserta juga akan terus memantau perkembangan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan petunjuk dasar daripada negara pengguna getah utama.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 10 sen kepada 758 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat dua sen kepada 578 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial