PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

26/02/2026 09:53 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap permintaan eksport yang lebih lemah di tengah-tengah pengukuhan ringgit.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata data juruukur kargo baru-baru ini menunjukkan anggaran eksport jatuh sebanyak 12 peratus disebabkan penurunan penghantaran ke pasaran utama seperti India dan China selepas minat belian terjejas oleh kekuatan ringgit.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.8865/8925 berbanding dolar US daripada 3.8900/8955 yang dicatatkan pada penutup semalam.

“Momentum pasaran yang lemah turut dijejaskan oleh kejatuhan harga dalam minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), ini seterusnya, menambah tekanan ke atas niaga hadapan minyak sawit.

“Kami melihat harga MSM akan disokong melangkaui RM3,950 setan, dengan rintangan pada RM4,180,” katanya.

Pada penutupan, kontrak Mac 2026 susut RM63 kepada RM3,955 setan, April 2026 turun RM50 kepada RM3,996 satu tan dan Mei 2026 melembap sebanyak RM48 kepada RM4,005 setan.

Kontrak Jun 2026 merosot RM47 kepada RM4,006 satu tan, Julai 2026 menguncup RM45 kepada RM4,003 satu tan dan Ogos 2026 kehilangan RM43 kepada RM3,998 satu tan.

Jumlah dagangan menokok kepada 61,228 lot berbanding 59,677 lot yang dicatatkan pada Rabu, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 227,240 kontrak daripada 221,625 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan susut RM40 kepada RM4,020 setan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan