Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, berikutan jangkaan pengeluaran yang rendah.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata MSM kebiasaannya mencatatkan pengeluaran yang lebih lemah pada Februari susulan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan bulan bekerja yang lebih pendek, dengan aktiviti penuaian dan pengangkutan yang lebih rendah.
“Kami menjangkakan harga untuk diniagakan antara RM4,000 dan RM4,130 setan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-20 Februari dijangka merosot sebanyak 12.29 peratus oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia, manakala UOB Kay Hian mengunjurkan penurunan 12-16 peratus berbanding tempoh 20 Januari.
Dalam pada itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh mempunyai pandangan yang berbeza.
Menurut beliau, niaga hadapan MSM dijangka merosot minggu depan kerana kedudukan saham Malaysia dan Indonesia yang tinggi, dan jangkaan diniagakan dalam julat RM3,850-RM3,900.
Katanya, harga yang susut turut membantu mengosongkan inventori MSM Malaysia.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mac 2026 berkurang RM74 kepada RM3,989 setan, April 2026 susut RM57 kepada RM4,030, dan Mei 2026 merosot RM50 kepada RM4,042.
Kontrak Jun 2026 turun RM50 kepada RM4,046 setan, Julai 2026 susut RM57 kepada RM4,043, dan Ogos 2026 berkurang RM61 kepada RM4,038.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 313,593 lot berbanding 194,724 minggu lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 227,706 kontrak daripada 228,011 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan menyusut RM50 kepada RM4,050 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial