PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

09/03/2026 11:22 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, seiring dengan prestasi Wall Street semalaman yang lemah berikutan sentimen terjejas oleh lonjakan harga minyak mentah, dengan harga minyak mentah Brent melebihi US$105 setong.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 23.21 mata atau 1.35 peratus kepada 1,694.85 selepas dibuka rendah 18.93 mata kepada 1,699.13.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 603 berbanding 164 manakala 218 kaunter tidak berubah, 1,647 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 651.16 juta saham bernilai RM485.84 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street semalaman turut mendapat tekanan susulan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) bagi Februari yang mengecewakan.

“Berdepan dengan kemungkinan stagflasi, ekonomi AS turut terjejas oleh harga minyak mentah yang tinggi. Selain itu, kadar pengangguran meningkat kepada 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini berikutan Februari mencatatkan penurunan dari segi jumlah pekerjaan baharu,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah melonjak melepasi US$105 setong dan mencecah paras tertinggi buat seketika pada US$108 pada Ahad selepas Mojtaba Khamenei dinamakan sebagai pemimpin tertinggi baharu Iran susulan kematian bapanya dalam serangan udara AS-Israel.

Sementara itu, katanya hasil untuk tempoh 10 tahun AS mendatar pada 4.138 peratus.

“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng meningkat semula walaupun keyakinan terus goyah disebabkan harga minyak mentah yang tinggi. Indeks masih turun hampir 550 mata pada asas mingguan,” katanya.

Dalam negara, Thong berkata selepas FBM KLCI ditutup kebanyakannya tinggi pada Jumaat lepas, indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan antara 1,710 dan 1,725 hari ini berikutan sentimen pasaran kekal berhati-hati.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 18.45 peratus kepada US$109.8 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CelcomDigi dan Sime Darby, masing-masing merosot 6.0 sen kepada RM3.16 dan RM2.40, Maxis dan Kuala Lumpur Kepong, masing-masing berkurangan 4.0 sen kepada RM3.81 dan RM19.32 manakala Tenaga Nasional berkurangan 22 sen kepada RM13.98.

Dalam senarai paling aktif, Velesto meningkat 1.5 sen kepada 34.5 sen dan Bumi Armada menambah 3.0 sen kepada 38 sen. Ta Win berkurangan setengah sen kepada 1.0 sen, AirAsia X merosot 22 sen kepada RM1.06 dan Capital A menurun 5.0 sen kepada 38 sen.

Jualan singkat AirAsia X telah digantung sepanjang hari ini selepas harga dagangan terakhirnya merosot lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan. Dagangan akan disambung semula pada Selasa, 10 Mac 2026 pukul 8.30 pagi.

Sementara itu, kaunter paling untung termasuklah Petronas Chemicals, meningkat 95 sen kepada RM5.24; Hengyuan Refining Company naik 34 sen kepada RM2.03; Hibiscus Petroleum menambah 30 sen kepada RM2.35; Petron Malaysia Refining & Marketing menokok 24 sen kepada RM5.14 dan Dialog Group meningkat 20 sen kepada RM2.11.

Kaunter paling rugi ialah Nestle, merosot RM3.60 kepada RM102.20; Malaysian Pacific Industries berkurangan 90 sen kepada RM29.20; Hong Leong Bank menurun 58 sen kepada RM22.24; Hong Leong Industries menyusut 46 sen kepada RM16.72 dan Hong Leong Financial merosot 36 sen kepada RM20.50.

Di papan indeks, Indeks FBM T100 berkurangan 171.20 mata kepada 12,196.21, Indeks FBM Emas jatuh 166.87 mata kepada 12,360.49, Indeks FBM 70 menurun 255.56 mata kepada 16,847.77, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 90.42 mata kepada 12,116.38 dan Indeks FBM ACE merosot 108.94 mata kepada 4,291.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 450.63 mata kepada 20,337.42 dan Indeks Perladangan menurun 25.69 mata kepada 8,222.75. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 5.07 mata kepada 183.36 serta Indeks Tenaga naik 34.62 mata kepada 829.89.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan